SEBAGAI penjunjung jenama atau francais filem Evil Dead, naskhah kali ini ternyata tidak langsung mengecewakan.
Penulis harus akui, setiap kali gerangan filem dari universe atau galaksi ini muncul dengan naskhah baharu, harapannya sentiasa tinggi.
Mujur, Evil Dead Burn tidak datang sekadar menumpang nama besar, sebaliknya hadir sebagai sebuah filem yang benar-benar memahami DNA siri ini — ganas, kejam, huru-hara dan langsung tidak memberi ruang audiens ‘mengemut’ adrenalin.
Sedari minit pertama, filem ini sudah memberi isyarat bahawa tiada siapa akan terselamat. Pengarah tidak mengambil masa lama untuk membawa penonton ke dalam mimpi ngeri yang semakin lama, semakin tidak terkawal.
Apa yang penulis suka secara peribadi, Evil Dead Burn tidak terlalu bergantung kepada jump scare murahan. Ya, ada babak yang membuatkan diri tersentak, tetapi ketakutan sebenar datang daripada rasa cemas yang dibina sedikit demi sedikit sehingga akhirnya meledak menjadi huru-hara berdarah.

LEMBAGA dikenali sebagai Deadites semakin mengganas dan bermaharajalela dalam siri terbaharu, Evil Dead Burn arahan sutradara seram prolifik, Sébastien Vaniček.
Francais Evil Dead memang sinonim dengan body horror dan filem ini meneruskannya tanpa kompromi. Setiap adegan keganasan disusun dengan cukup kreatif sehingga ada masanya penulis sendiri tertanya-tanya, “Macam mana mereka fikir idea sekejam ini?”
Darah memancut ke setiap sudut, anggota badan hancur tanpa belas kasihan dan transformasi Deadites dipersembahkan dengan efek praktikal yang benar-benar mengagumkan. Dalam era CGI yang semakin berleluasa, sentuhan efek fizikal seperti ini memberikan dampak yang jauh lebih mengganggu dan realistik.
Satu lagi kekuatan filem ini adalah rekaan bunyinya. Penulis percaya separuh daripada rasa seram itu datang daripada bunyi retakan tulang, bisikan halus dan ketawa Deadites yang cukup menyeramkan.
Ada ketika diri lebih takut dengan apa yang didengari berbanding apa yang dipaparkan di layar. Ditambah pula dengan sinematografi yang bijak memanfaatkan ruang sempit dan pencahayaan suram, suasana filem ini terasa cukup menyesakkan seolah-olah penonton sendiri sedang terperangkap bersama watak-watak divisualkan.
Dari segi lakonan, penulis tidak mempunyai banyak rungutan. Semua pelakon memberikan komitmen yang meyakinkan.
Mereka tidak sekadar menjerit atau berlari menyelamatkan diri, sebaliknya berjaya mempamerkan rasa takut, panik dan putus asa yang membuatkan audiens benar-benar peduli dengan nasib mereka.
Walaupun begitu, harus diakui ada beberapa watak sampingan yang sekadar hadir untuk menambah jumlah korban.

BUKAN hanya seram biasa, Evil Dead Burn terkandung jalur cerita, terjemahan karakter dan perihal teknikal termasuk efek visual yang membekas di hati penonton.
Disebabkan pembangunan karakter mereka agak minimum, ada kematian yang sepatutnya memberi kesan emosi tetapi berlalu begitu sahaja.
Tak ‘selamat’
Apa yang paling menerbitkan apresiasi tinggi ialah Evil Dead Burn tidak cuba menjadi filem seram yang ‘selamat’, namun tahu siapa penontonnya.
Karya ini tidak meminta maaf kerana terlalu ganas atau terlalu berdarah. Sebaliknya, meraikan kekacauan yang menjadi identiti Evil Dead sejak dahulu lagi. Malah, ada beberapa babak yang membuatkan penonton tergelak kecil, bukan kerana lucu, tetapi kerana tahap keganasannya sudah begitu melampau sehingga terasa seperti penghormatan kepada akar umbi francais ini.
Bagi penulis secara peribadi, inilah contoh bagaimana sebuah francais lama boleh terus berkembang tanpa kehilangan identiti dengan menghormati legasi yang dibina selama puluhan tahun, tetapi masih mempunyai keberanian untuk memperkenalkan idea dan visual yang lebih esktrem bagi generasi penonton hari ini.
Secara keseluruhan, Evil Dead Burn bukan filem seram untuk semua orang. Jika kalian lebih gemarkan seram psikologi yang perlahan, mungkin filem ini terasa terlalu agresif.
Namun, jika anda datang untuk melihat Deadites mengganas, adegan gore yang kreatif dan pengalaman menonton membuatkan anda meringis hampir sepanjang tayangan, filem ini memang berbaloi ditonton di pawagam.
Evil Dead Burn membuktikan bahawa francais ini masih berbisa.
Filem ini antara karya yang ‘menetap’ lama untuk minggu-minggu mendatang. – HIBGLAM
