SEAKAN-AKAN gian beraksi dalam sebuah persembahan berskala besar, kumpulan muzik popular, Spider sekali lagi bakal hadir dengan konsert tetapi kali ini lebih ‘dahsyat’ sempena meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-30.
Konsert yang diberi nama Spideraya tersebut bakal dipentaskan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 26 September 2026.
Kali pertama Spider yang dianggotai Tam, Aie, Iss dan Pown beraksi dalam konsert mereka sendiri adalah pada 2024 menerusi Konsert Spider Keluar Sarang bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Kemudian Oktober tahun lalu mereka sekali lagi beraksi dalam Konsert Spider Unplugged bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Menurut wakil penganjur iaitu Khairul Afizi dari B7 Resources Sdn Bhd, mereka yakin untuk menganjurkan konsert Spider di Stadium Hoki Bukit Jalil selepas melihat sambutan hebat daripada peminat dalam dua konsert terdahulu.
Nama Spider sendiri sudah cukup besar. Mereka adalah legenda muzik tanah air. Lagu-lagu mereka masih relevan sehingga hari ini.
“Daripada generasi milenial hingga ke Gen Z, semua pernah dengar lagu Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi, Kasih Latifah dan Laukku Cukup Masin,” katanya.
Bercerita lebih lanjut tentang nama konsert ini, kata Khairul, Spideraya bersesuai dengan tema perayaan bagi merayakan seluruh peminat Spider.
“Selama 30 tahun bukan satu jangka masa yang singkat. Inilah masa untuk seluruh peminat Spider dari setiap pelusuk negeri hadir bagi merayakan perjalanan kumpulan kesayangan mereka.
Spideraya menggambarkan keseluruhan fasa karya Spider sejak 30 tahun lalu yang masih segar dan relevan. Paling penting Spider masih menjadi salah satu kugiran terbaik tanah air yang layak diraikan menerusi sebuah konsert berskala besar seperti ini,” jelasnya.

MENJELANG konsert berskala besar di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 26 September nanti, Tam menyahut tawaran tersebut sebagai satu cabaran untuk memberi nilai tambah dalam persembahan demi menghiburkan peminat secara total.
Sementara itu bagi vokalis Spider, Tam dia sama sekali tidak menyangka Spider akan berpeluang beraksi di sebuah konsert berskala besar bagi meraikan 30 tahun penubuhan kumpulan mereka.
“Spider tak selalu buat konsert. Kami hanya mula buat konsert sejak dua tahun lepas. Kami percaya setiap orang ada harinya sendiri. Dan ini hari kami.
Bila ada yang membuka ruang untuk kami, kami sambut dengan hati terbuka. Inilah masanya untuk menghiburkan peminat-peminat kami secara ‘live’.
“Sepatutnya lokasi asal konsert ini mahu dilakukan di Unifi Arena. Tetapi disebabkan penuh, penganjur mengambil keputusan untuk buat di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Pada awalnya saya agak gementar juga. Bila dibuat di stadium terbuka pelbagai aspek perlu dititikberatkan seperti cuaca dan bunyi. Tetapi kami ambil ini sebagai cabaran dan anggap ini sebagai rezeki Spider,” ujarnya.
Bakal mendendangkan 30 lagu, kata Tam, dia akan menyampaikan sebuah lagu yang belum pernah dinyanyikan di mana-mana persembahan sebelum ini.
Lagu ini sangat istimewa sebab lagu ini sangat susah untuk dinyanyikan. Tetapi saya tak akan dedahkan lagu apa. Kalau peminat tegar Spider mereka akan tahu lagu apa. Sebab mereka selalu request.
“Lagu ini sangat mencabar untuk dinyanyikan dari segi range vokal. Ada bahagian rendah dan tinggi,” kongsinya.
Lebih istimewa, Spider akan melakukan segmen tribute untuk dua anggota mereka yang telah meninggal dunia iaitu Tony dan Napie sebagai satu apresiasi kebersamaan.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket, boleh layari laman rasmi www. ticket2u.com.my. Harga tiket bermula serendah RM148 hingga RM268. – HIBGLAM
