MENGELAKKAN salah faham, peguam syarie mewakili Datuk Red, Muhammad Akmal Amzan memaklumkan ketidakhadiran anak guamnya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pagi ini adalah disebabkan terikat dengan komitmen kerja.
Muhammad Akmal, menafikan anak guamnya yang juga ahli perniagaan pergi berbulan madu bersama isteri baharunya, Rohanita.
Tidak (bukan berbulan madu). Datuk Red tak dapat hadir sebab saya dimaklumkan pagi tadi yang beliau ada urusan kerja.
“Tetapi bukan pergi mana-mana seperti yang disangkakan. Dia ada di sini (dalam kawasan), cuma tak dapat datang pada pagi ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding permohonan penarikan balik kes berkenaan di Mahkamah Syariah Gombak Barat, hari ini.
Menurutnya, Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, sudah memaklumkan lebih awal mengenai kemungkinan tidak dapat hadir ke mahkamah.
Begitupun, akuinya pengesahan tersebut hanya diberitahu kepadanya pada pagi ini iaitu hari prosiding berlangsung.
“Semalam dia ada maklumkan kepada saya kemungkinan tak dapat datang pada hari ini.
Pagi tadi baru dia bagi pengesahan yang dia tidak dapat hadir. Tidak mengapa sebab sudah ada peguam, jadi saya boleh wakilkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Muhammad Akmal menjelaskan tidak menjadi masalah sekiranya anak guamnya itu tidak hadir kerana dia sudah selesai memberi keterangan pada prosiding terdahulu.
Menyentuh mengenai tarikh sambungan keterangan plaintif pada 3 September depan, katanya dia tidak dapat memberikan kepastian mengenai kehadiran anak guamnya, namun perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya.
Saya tidak pasti lagi. Saya dah maklumkan untuk Datuk Red hadir. Cuma kalau tak datang pun tiada masalah,” katanya.
Hari ini adalah prosiding pengesahan lafaz rujuk difailkan Datuk Red terhadap isterinya yang kemudian disambung pada September depan.
Pasangan yang mempunyai empat anak itu berkahwin pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai sembilan tahun kemudian. – HIBGLAM
