PELAKON Azar Azmi enggan mengulas lanjut mengenai status terkini suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri yang berdepan dua pertuduhan mahkamah iaitu atas dakwaan menipu berkaitan urusan Darjah Kebesaran membawa gelaran Datuk serta penjualan tanah kurnia tidak wujud yang melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Menurut Azar atau nama penuhnya Siti Azar Ameerah Azmi, 37, pendirian tersebut adalah bagi menghormati prosiding mahkamah yang masih berlangsung.
“Bab itu memang sayar tak boleh nak cakap apa-apa. Sebelum hadir ke mana-mana acara atau berjumpa dengan sesiapa, saya sendiri akan hubungi pihak tertentu sekiranya boleh soalan-soalan begini untuk dijawab.
“Jadi, memang tak boleh nak sentuh langsung, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sebab di bawah kuasa mereka.
“Ini kerana kes masih lagi berjalan dan itu saja yang boleh dikongsi,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis perasmian Astro Fandom, semalam.
Dalam pada itu, Azar turut menafikan dakwaan segelintir pihak mengenai dia mengumpul sejumlah wang untuk mengikat jamin suaminya.
“Kenyataan yang mana itu? Saya tak pernah keluarkan dan salah dakwaan itu.
“Sekarang ini hanya fokus untuk membesarkan anak-anak,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu, dia bakal muncul dengan drama terbaharu Bulan Henti Bicara lakonan bersama Azhan Rani, Ezzanie Jasny dan Ali Redza.
Dia turut mengakui berasa gemuruh apabila kembali ke set penggambaran yang beberapa tahun ditinggalkan
“Gementar tetapi Alhamdulillah masih ada lagi tempat untuk saya dalam industri ini.
“Memang agak kekok tetapi pengarah banyak beri tunjuk ajar sebab lama saya tinggalkan dunia lakonan dan perlu diasah semula,” kongsinya.
Drama arahan Eyra Rahman itu akan mula bersiaran menerusi slot Megadrama Astro bermula 27 Julai depan.
Terdahulu, Mohd Apri pada 11 Mac lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas pertuduhan menipu dua mangsa memgenai urusan mendapatkan Darjah Kebesaran Dato’ dan tanah kurniaan negeri Selangor, tahun lalu.
Sementara laporan media pada 22 Mei lalu menyatakan Mohd Apri selaku tertuduh masih belum diikat jamin memaklumkan belum bersedia untuk melantik peguam. – HIBGLAM
