Lawan bronkitis, Awie ‘mengaum’ di Hard Rock Cafe KL

MASIH bergelut dengan bronkitis dan jangkitan kuman pada paru-paru, vokalis Wings, Datuk Awie tetap menggagahkan diri menyempurnakan persembahan ekslusif Wings Sunday Night Live di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, malam tadi.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 58, berkata, dia meminta kebenaran keluar dari wad lebih awal selepas dimasukkan ke hospital selama tiga hari minggu lalu demi memenuhi komitmen beberapa kerja yang sudah dipersetujui lebih awal.

“Sebenarnya sudah hampir dua bulan saya bergelut dengan serangan bronkitis. Suara saya pun kedengaran sengau sebab batuk selain hidung masih tersumbat.

Saya kena jangkitan kuman pada paru-paru dan masuk wad tiga hari, baru-baru ini. Doktor tak benarkan saya balik lagi tetapi saya kena keluar sebab ada kerja. Masa tak mengizinkan.

“Alhamdulillah, saya dapat juga habiskan persembahan dengan kawan-kawan saya pada malam ini,” katanya ketika ditemui selepas showcase.

Katanya lagi, dia masih menjalani rawatan dan perlu berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan nebulizer selain mengambil ubat-ubatan yang disarankan doktor.

Sekarang memang masih makan ubat. Masa menyanyi pun saya kena ambil ubat batuk sebab tekak kadang-kadang kering, berkahak. Saya kena lembapkan tekak supaya suara lebih mudah keluar.

“Esok (hari ini) pun saya ada temu janji dengan doktor. Ada tiga atau empat doktor yang terus memantau keadaan saya,” kongsinya.

Mengulas mengenai keputusan meneruskan persembahan walaupun belum pulih sepenuhnya, Awie mengakui tindakan itu berisiko, tetapi tanggungjawab terhadap kerjaya dan peminat menjadi fokus utama.

“Saya bersyukur dapat habiskan kerja. Paling penting kerja selesai. Saya tak tahu macam mana bunyi suara di depan, tetapi di atas pentas saya rasa okey.

Syukur, Tuhan bantu. Benda macam ini jangan dibuat main. Bila kena jangkitan paru-paru, ada pesakit yang sampai terpaksa ditidurkan.

“Ini antara sakit yang paling teruk pernah saya alami kerana sudah hampir dua bulan masih belum sembuh,” katanya.

Meskipun kurang sihat, ikon rock otai itu tetap menunjukkan aksi bertenaga sepanjang hampir dua jam persembahan berlangsung.

Ada ketika suaranya kedengaran sengau dan serak, namun sokongan padu 700 peminat atau Sayap Sayap Wings yang menyanyikan setiap lagu bersama-sama menyuntik semangat kepada penyanyi itu menyempurnakan persembahan.

Sekali gus, kemunculan Wings menghidupkan malam penuh nostalgia apabila mereka mempersembahkan hampir 20 buah lagu termasuk sebuah karya baharu berjudul Khalifah Empat.

Antara seleksi pilihan adalah Hukum Karma, Sekeping Kertas Bermaruah, Peronda Jaket Biru, Awang Thrasher, Misteri Mimpi Syakilla, Entah Kiri Entah Kanan, Ingatkan Dia, Tirai Horizon dan Romania.

Wings yang turut ditunjangi Syam (gitar), Edrie Hashim (gitar), Ilham Ishak atau Am (bes), dan Pae (dram) juga mengimbau kegemilangan era persembahan live band sekitar tahun 2000-an apabila kembali beraksi di pentas Hard Rock Cafe, lokasi yang pernah menjadi antara ‘rumah’ mereka suatu ketika dahulu.

Pada 12 Julai ini, band rock ikonik itu bakal menggegarkan pula Hard Rock Cafe Melaka menerusi segmen sama Wings Sunday Night Live juga anjuran bersama Awie Entertainment, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan RPM Label. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok