Sakit paru-paru tahap empat, keadaan saya kritikal – Jamilul Hayat

PENYANYI Jamilul Hayat mengesahkan menghidap penyakit berkaitan paru-paru tahap kritikal dan perlu mendapatkan rawatan segera di hospital.

Menurut pemilik nama penuh Hayat Abdillah Mohd Ali itu, dia bagaimanapun terpaksa menangguh sementara rawatan bagi menjalankan peranan sebagai pengurus kepada penyanyi yang juga anaknya, Hussain dalam program Talk To My Manager musim ke-2.

“Saya mengalami masalah paru-paru tahap empat dan keadaan saya amat kritikal sebenarnya tetapi tetap semangat, berkorban untuk anak.

Selepas ini saya akan menyusun kembali jadual rawatan di hospital. Saya tak mahu ditahan di wad sebab nak selesaikan urusan pertandingan ini dahulu.

“Saya tahu nyawa lebih penting namun apalah salahnya saya berkorban untuk anak saya,” katanya selepas konsert minggu pertama TTMM2, semalam.

Dia bagaimanapun tidak berkongsi secara terperinci penyakit yang dihidapinya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seni Hussain, penyanyi lagu Mawar Putih Tanda Perpisahan itu memaklumkan ada perancangan muncul dengan single pertama tidak lama lagi.

“Perancangan untuk rakam single memang ada dan sudah ke arah itu.

Agak rugi jika tidak ke arah itu. Kami akan beri sokongan sepenuhnya,” katanya lagi.

Terdahulu, penyertaannya di pentas TTMM2 sebagai pengurus mencuri perhatian ramai dan dijangka memberi saingan sengit memandangkan Hussain dikatakan memiliki pakej lengkap sebagai seorang penghibur.

Selain Hussain dan Jamilul Hayat, TTMM 2 turut membariskan peserta hebat lain termasuk Adira dan Anggrek, Linda Jasmine dan Ratu, Nana Mahazan dan Althea, Datuk Seri Vida dan Cik B, Pak Azad dan Amarra, Safura dan Kim Khairii, Ani Maiyuni dan Viviana, Datuk A. Aida dan Azeva serta Datuk Fazley dan Fariedz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok