‘Demi ‘sifu’ saya sudi , kita buat konsert bersama selepas ini’

KUALA LUMPUR – Bagai sebuah upacara keraian seorang pemuzik legenda, konsert M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena Kuala Lumpur malam tadi menyaksikan Datuk M. Nasir berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi ‘papan atas’ termasuklah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Siti yang hadir sebagai penonton bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, diundang M. Nasir pada pertengahan konsert untuk tampil ke pentas dan menyanyikan lagu duet bersamanya.

Saya dengar Siti Nurhaliza boleh menyanyi. Kalau hendak, silakan,” kata M. Nasir dalam nada berseloroh sekali gus mengundang sorakan gemuruh ribuan penonton.

Siti dilihat teragak-agak untuk menyahut pelawaan pemuzik diberi julukan ‘Sifu’ itu sebelum beliau berubah fikiran apabila terus ‘didesak’ peminat dengan sorakan yang menggemakan satu arena.

Demi seorang legenda yang saya hormati dan hari ulang tahunnya hari ini, saya saya sudi menyanyi.

“Saya cubalah walaupun tiada ear monitor. Ini antara karya terhebat yang pernah saya nyanyikan. Kita buat konsert bersama-sama selepas ini,” katanya.

Dua figura seni tersohor tanah air itu kemudian menghiburkan penonton menerusi lagu Bagaikan Sakti, karya duet popular yang turut menjadi antara lagu tema filem epik, Puteri Gunung Ledang.

Selain Siti, konsert anjuran Icon Entertainment itu turut dimeriahkan dengan kemunculan vokalis Wings, Datuk Awie, serta penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.

Pada penghujung konsert, M Nasir atau nama lengkapnya, Mohamad Nasir Mohamed turut diraikan bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-69.

Majlis sambutan itu diserikan dengan kehadiran beberapa rakan artis termasuk Ziana Zain, Marsha Milan, Sherry Alhadad, Elyana, Mawi dan Siti.

“Takbir! Terima kasih kepada semua yang sudah memberi sokongan. Saya harap persembahan ini tidak membosankan kalian,” katanya sebelum memotong pulut kuning sementelah penonton menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu.

Tidak cukup dengan itu, M. Nasir juga sempat berduet Ziana Zain menyampaikan lagu Halaman Asmara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok