‘Sekarang panggil sayang, tergamam..’ – Vida, Fazley sah bercinta

PENYANYI dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob mendedahkan dia nekad meluahkan perasaan sayang kepada usahawan, Datuk Seri Vida pada hari bersejarah dalam kalendar Islam baru-baru ini.

Tidak menyatakan hari tersebut secara terperinci, Fazley, 48, berkata, Vida memberi reaksi terkejut apabila dia meluahkan perasaan tersebut.

“Sebagai seorang lelaki, mestilah saya yang mula luahkan dulu. Masa pertama kali saya luahkan, ketika itu sangat Vida terkejut sehingga terdiam dan termenung lama.

“Hari yang saya luahkan itu merupakan hari yang sangat besar, bersejarah dalam kalendar Islam dan saya pilih pun bersebab.

“Saya datang kepada Vida dan hanya kami berdua di ruang tamu. Waktu itu sedang hujan dan hari yang terbaik sebelum saya luahkan niat serta hala tuju,” katanya dalam siaran langsung TikTok semalam.

Dalam pada itu, dia mengakui agak gementar menanti respons daripada Vida namun berasa lega selepas mendengar jawapan usahawan tersebut.

Saya risau juga dia tidak berminat tetapi jawapannya sangat hebat, biarlah saya simpan dalam hati.

“Keikhlasan dalam hubungan kami berdua yang membawa ke hari ini.

“Pada saya, kalau ada niat yang baik, kena lafazkan,” ujarnya.

Fazley menambah, hasrat untuk menjalin hubungan dengan Vida mula tercetus sebelum anak perempuan usahawan itu iaitu Cik B bergurau mengenainya beberapa bulan lalu.

“Cik B orang pertama yang gurau tentang perkara ini, memang saya segan.

“Tapi kalau Cik B tidak bergurau sekali pun, empat orang anak saya pernah bercakap tentang hal ini sebelum itu.

“Mereka beritahu sangat suka melihat sifat penyayang Vida dengan Cik B dan Kacak. Jadi, perjalanan keluarga saya dan Vida sama, kasih sayang adalah keutamaan,” ujarnya lagi.

Mengulas pertanyaan ramai mengenai tindakannya memanggil Vida dengan gelaran sayang, dia berkata perkara tersebut dilakukan dengan niat yang ikhlas.

“Saya yang terlebih dahulu terpanggil Vida dengan gelaran sayang, mulanya memang tersasul.

“Panggilan sayang itu bukan konten tetapi datang dari hati.

“Saya tak boleh panggil Vida dengan nama lain, kejujuran sangat penting,” jelasnya.

Sementara itu, Vida atau nama penuhnya Hasmiza Othman, 54, berkata, dia sangat terkejut dengan keputusan Fazley yang meluahkan rasa cinta kepadanya.

“Saya tak rasa itu konten pun tetapi terkejut kerana momen tersebut berlaku pada tarikh dan hari tersebut.

“Pada awalnya saya memang tak sangka dan tidak boleh terima tiga hingga empat hari, apa yang sedang berlaku?

“Saya bukan tak yakin ketika itu tetapi lebih kepada tergamam dan blur,” kongsinya.

Ditanya netizen mengenai sifat dan layanan Fazley terhadapnya, Vida menjawab bekas juara Masterchef Selebriti Malaysia itu adalah lelaki yang budiman.

“Fazley ‘overdose gentleman'” jawabnya ringkas.

Bulan lalu, Fazley pernah menafikan dirinya kini menjalin hubungan istimewa dengan Vida seperti yang tular dalam media sosial.

Dia bagaimanapun mengakui Vida mempunyai kriteria calon isteri yang baik, selain mengagumi cara layanan wanita itu terhadap dua anaknya iaitu Cik B dan Kacak.

Bagaimanapun, Fazley dan Vida didakwa sedang bercinta susulan tular beberapa video memaparkan keakraban mereka selepas menyertai TTMM2.

Cik B juga sebelum ini dalam satu kenyataan turut merestui sekiranya ibunya mempunyai hubungan istimewa dengan Fazley.

Malah, Cik B atau nama lengkapnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, yakin Fazley mampu menjadi bapa yang terbaik buat dirinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok