Labur RM3 juta untuk Jerat, gabung pelakon baru, lama

 

BERANI melabur lebih RM3 juta, syarikat produksi RedFiress Film Production dengan kerjasama Captain Filmmakers Sdn. Bhd. bakal menghasilkan sebuah filem seram berjudul Jerat dengan menawarkan pengalaman sinematik memenuhi cita rasa penonton masa kini.

Menurut pengarahnya, Roy Krishna, keputusan untuk tampil dengan pendekatan produksi yang lebih besar bukan dilakukan secara kebetulan, sebaliknya melalui penelitian dan kajian terhadap perkembangan industri filem serta perubahan corak penerimaan penonton.

Katanya, usaha tersebut turut digerakkan dengan hasrat untuk memastikan Jerat mampu tampil dengan standard yang lebih tinggi serta mempunyai nilai yang boleh bersaing dengan karya luar.

“Pendekatan ini diambil kerana kami mahu filem ini kelihatan lebih bertaraf antarabangsa. Kami turut membuat kajian terhadap pelbagai karya luar negara bagi memahami trend dan cita rasa penonton masa kini.

“Berdasarkan kajian dilakukan, ramai penonton lebih tertarik kepada babak yang mampu menimbulkan rasa takut, cemas dan geli, sekali gus memberikan impak emosi lebih kuat.

“Jalan ceritanya dibangunkan dengan teliti dan menunjukkan tahap kematangan yang sangat baik,” katanya.

Berkongsi mengenai arah tuju filem tersebut, Roy yang sebelum ini berjaya menerusi filem Zaara (Zaara Bukan Nama Aku) dan Sumpahan Syaitan berkata, Jerat akan dihasilkan dengan identiti yang lebih segar berbanding kebanyakan karya genre sama yang berada di pasaran ketika ini.

“Sebelum ini penonton lebih banyak disajikan dengan filem yang mengetengahkan elemen aksi dan perjuangan tetapi lebih menekankan unsur seram sebagai elemen utama yang menggerakkan keseluruhan jalan cerita.

“Pendekatan tersebut dilihat sebagai antara usaha untuk menghadirkan pengalaman berbeza kepada penonton selain memperkukuhkan elemen ketegangan yang menjadi kekuatan utama naskhah berkenaan,” katanya lagi.

Roy juga mengambil pendekatan strategik dalam pemilihan barisan pelakon dengan menggabungkan pelakon berpengalaman, penyanyi terkenal serta pempengaruh media sosial bagi menarik perhatian pelbagai kelompok penonton terutama generasi muda.

Jerat menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Pekin Ibrahim, Aprena Manrose, Stacy, Captain Palani, Datuk Jalaluddin Hassan, Qamarina Lim serta Razib Salimin.

“Saya yakin gabungan pelakon berpengalaman, influencer dan kekuatan jalan cerita mampu memberikan impak positif kepada industri filem tempatan.

“Harap Jerat bukan sahaja diterima penonton tempatan, malah berupaya mencipta nama di peringkat antarabangsa menerusi kualiti produksi yang tinggi,” ujarnya.

Sesi penggambaran filem Jerat dijadualkan berlangsung sekitar Ogos hingga September depan dan akan membabitkan beberapa lokasi strategik dalam negara termasuk Selangor, Johor, Pahang, Perak serta beberapa kawasan lain yang bersesuaian dengan keperluan penceritaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok