NAMA kini kian menjadi sebutan terutama selepas pelancaran single sulung berjudul Gila Bayang, penyanyi muda Ammar Haikal menerima banyak pilihan lagu sebelum memutuskan untuk muncul dengan single perdananya itu.
Menurut Ammar atau nama lengkapnya, Wan Ammar Haikal Wan Aminuddin, lagu itu menarik minatnya sebaik sahaja dia mendengarkan demonya buat pertama kali.
Saya, Naim dan Adib (komposer) terima banyak lagu, namun lagu Gila Bayang ini ‘terikat’ dengan saya. Saya mahukan lagu ini selepas pertama kali mendengarkannya,” katanya kepada HibGlam.
Ammar memaklumkan lirik lagu tersebut berkisarkan tentang ‘cinta monyet’ yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat setempat.
Tidak ada kena-mengena dengan kehidupan saya kerana (saya) masih muda untuk bercinta,” kongsinya.
Sehubungan itu, Ammar berharap lagu tersebut dapat melonjakkan dan membawa namanya meroket lebih tinggi dalam arena seni suara.
Saya tidak menaruh harapan untuk meledak dengan single pertama tapi oleh kerana penghasilan yang mantap, saya yakin single ini boleh pergi jauh dan membawa nama saya lebih tinggi.
“Jadi saya berterima kasih kepada XO House kerana menghasilkan lagu yang hebat seperti Gila Bayang,” ujarnya.

AMMAR bersama pengasas dan CEO XO House, Adib Hamdi (kanan sekali) ketika majlis pelancaran single Gila Bayang baru-baru ini.
TikTok
Bercakap mengenai teaser Gila Bayang yang dimuat naik dalam media sosialnya, Ammar tidak menyangka akhirnya menerima maklum balas memberangsangkan sehingga lagu itu berulang kali digunakan sebagai lagu latar di platform TikTok.
“Sebenarnya saya dan XO House tidak meletakkan harapan tinggi kepada single ini. Cukup sekadar membantu untuk memperkenalkan diri saya kepada masyarakat.
“Tapi apabila memuat naik sedutan lagu itu, saya tak sangka dapat sambutan yang memberangsangkan.
Lebih membanggakan lagi apabila lagu itu sudah didengari lebih 50,000 pengguna TikTok. Jadi saya berterima kasih kepada yang menggunakan lagu itu,” kongsinya.
Genre lain
Alumni Talk To My Manager itu memaklumkan ingin mencabar diri sendiri dengan meneroka pelbagai genre lagu pada masa akan datang.
“Muzik pop adalah genre pilihan saya. Tapi saya ingin mencuba pelbagai genre pada masa akan datang.
Cuma untuk awal ini, biarlah saya memperkenalkan diri dengan muzik bergenre pop. Saya mahu dikenali sebagai artis pop, bukan balada,” ujarnya.
Bercerita tentang proses rakaman lagu tersebut, Ammar berdepan pelbagai cabaran terutama apabila perlu menyeimbangkan antara pelajaran dan kecintaan terhadap dunia muzik.
“Contohnya ada masa bertindih dengan pelajaran saya. Adakalanya saya terpaksa bergegas ke studio rakaman selepas tamat persekolahan semata-mata untuk menyiapkan lagu ini dan kemudian pulang lewat malam.
Jadi masa itu menjadi kekangan terbesar kerana dalam menjadi penyanyi, saya juga seorang pelajar,” ujarnya lagi.
Ammar juga tidak menolak mendapat inspirasi lagu Gila Bayang daripada idolanya termasuk The Weeknd dan Slam.
“Saya memang peminat nombor satu The Weeknd. Sebab kalau kalian dengar, ada elemen lagu pemuzik itu dalam lagu,” katanya menggulung perbualan. – HIBGLAM
