SEBELUM menggagahkan kaki panggung wayang, penulis harus akui bahawasanya tidak meletakkan sebarang harapan menggunung terhadap kemenjadian filem terbaharu DC Universe, Supergirl.
Bagaimanapun, dari satu sudut penghakiman, filem arahan sutradara Craig Gillespie itu ternyata melangkaui jangkaan terutama dari sudut teknikal termasuklah sinematografi, skor muzik dan lakonan teraju utama, Milly Alcock.
Selepas kejayaan Superman tahun lalu, DC meneruskan pembinaan semesta baharunya dengan Supergirl – sebuah filem yang jauh lebih gelap, emosional dan matang berbanding kebanyakan adaptasi terdahulu watak Kara Zor-El.
Craig Gillespie sebagai pengarah bijak melunaskan tanggungjawab sebagai sutradara.
Berbeza dengan imej Supergirl yang sering digambarkan ceria dan optimistik, versi kali ini menampilkan Kara sebagai seorang wanita yang trauma, sinis dan masih bergelut dengan kehilangan dunia asalnya.

ANTARA kemenjadian dalam Supergirl adalah kesan khas yang memberi dampak tersendiri.
Kemenjadian Kara Zor-El
Milly berjaya memberikan persembahan yang penuh emosi dan menjadi nadi utama filem ini, sehingga ramai pengkritik menyifatkannya sebagai pilihan terbaik untuk membawa watak tersebut ke layar perak.
Keduanya, dari segi visual, Supergirl tampil dengan gaya yang unik. Dunia-dunia asing yang diperkenalkan memberikan suasana seakan-akan gabungan Guardians of the Galaxy, True Grit dan Mad Max, sekali gus membezakan filem ini daripada formula tipikal filem adiwira.
Walaupun jalan ceritanya tidak mempunyai impak emosi sekuat Superman, filem ini tetap menawarkan aksi yang menghiburkan, lelucon yang bersahaja serta perkembangan karakter yang memuaskan.
Kemunculan Jason Momoa sebagai Lobo turut menjadi antara tarikan utama dan mencuri perhatian setiap kali muncul di skrin.
Cuma masalah buat penulis, watak tersebut tidak diterokai sepenuhnya. Barangkali itu memang taktik produksi atau pengarah demi meneruskan ‘kemarau’ audiens menanti filem selanjutnya, namun itu tidak memberikan dampak selayaknya buat penulis.
Hasilnya, Lobo lakonan Momoa sekadar penyendal yang tidak ‘melekat’ di kepala penonton. Tidak keterlaluan kalau dikatakan kalau karakter tidak wujud pun, tidak mengapa. Tapi itu bagai melawan komik asal.
Yang melekat untuk filem Supergirl sebaliknya watak remaja perempuan bernama Ruthye Marye Knoll lakonan Eve Ridley.

‘SINERGI’ antara hero utama Supergirl dan villain Krem of Yellow (kanan) Hills berbekas dalam hati penonton, namun mempunyai beberapa kelompongan.
Plot terlalu ‘mudah’
Emosi, lontaran dialog dan cetusan kimia antara Ruthye dengan Supergirl antara elemen yang membekas buat penulis yang duduk dibangku penonton sekitar durasi 1 jam 48 minit.
Seperkara lagi, villain dalam Supergirl yang diketuai Krem of Yellow Hills membuatkan penulis berasa berbelah bahagi.
Kadang-kadang berasa watak itu berada dalam ‘bingkai’, kadangkala rasa bagai hilang entah ke mana.
Itu pendapat peribadi penulis. Semuanya berada di tempat yang sepatutnya cuma mungkin dari segi plot atau penceritaan banyak yang lompong dan mungkin harus ditambahbaik.
Keseluruhannya, Supergirl membuktikan bahawa DC tidak lagi sekadar bergantung kepada nama besar seperti Batman atau Superman. Dengan tona yang lebih matang dan berani, filem ini berjaya memperkenalkan Kara Zor-El sebagai seorang heroin yang rapuh, degil, tetapi cukup manusia untuk disayangi. – HIBGLAM
