Malam Qolbu suburkan cinta Rasul, pelaburan saham akhirat

SAAT manusia leka mengejar dunia, syukurnya masih ada tangan-tangan ikhlas berusaha menganyam sebuah malam penuh makna menuju cinta hakiki.

Dalam keriuhan dunia hiburan yang meriah dengan acara pop, konsert artis tempatan dan luar negara, Malam Qolbu tidak ketinggalan mahu menghimpunkan masyarakat dalam sebuah malam sarat kecintaan terhadap Rasulullah SAW pada 24 Ogos nanti di Idealive Kuala Lumpur.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul, penganjuran tersebut bukan semata-mata persembahan muzik islamik, tetapi satu amanah besar mengajak umat kembali menyelusuri sirah junjungan mulia, Nabi Muhammad.

Menurut wakil penganjur, konsert Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab serta kasih mendalam terhadap Rasulullah, diterjemahkan melalui medium paling dekat dengan masyarakat masa kini.

“Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah besar. Tanpa Rasulullah, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini.

Menjadi satu kebanggaan apabila diberi peluang menganjurkan majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda serta menyemarakkan cinta kepada Rasulullah.

“Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika mendapat keredaan Allah dan menjadi asbab memperoleh syafaat Rasulullah, itu amat bernilai buat kami,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya, kehadiran ke konsert tersebut bukan bertonggakkan hiburan semata-mata, sebaliknya satu bentuk pelaburan akhirat.

“Dalam kehidupan ini kita sering melabur untuk dunia.

Sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat. Setiap selawat, doa dan ilmu diperoleh pada malam itu diharap menjadi amal berpanjangan serta ganjaran berlipat ganda,” ujarnya.

Mengangkat konsep islamik Nusantara muzik, konsert tersebut bakal menampilkan barisan artis tersohor seperti Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan.

Persembahan pula disusun dengan penceritaan menyentuh jiwa menerusi gimik pembukaan sirah dan cahaya, segmen interlude pantomim serta visual poetry sebelum diakhiri dengan alunan selawat menyatukan hadirin dalam suasana penuh ukhuwah.

Dalam pada itu, anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz mengakui industri nasyid tempatan semakin mendapat tempat, namun masih berdepan cabaran terutama aspek penajaan.

“Selalu kita dengar, program nasyid atau islamik sukar mendapat penaja.

Namun, tidak boleh jadikan alasan program islamik tiada sokongan. Semuanya kembali kepada kesedaran masyarakat,” ujarnya

Tambah beliau, usaha menyampaikan mesej kebaikan bukan hanya terletak di bahu artis semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama semua pihak.

“Artis nasyid atau pembawa lagu ketuhanan memikul amanah, tetapi masyarakat juga memainkan peranan.

Dahulu industri nasyid begitu gemilang kerana sokongan menyeluruh daripada media, produksi dan orang ramai,” tuturnya.

Sementara itu, wakil Aftermusic Project menyifatkan konsert Malam Qolbu sebagai langkah awal menghidupkan kembali hiburan berteraskan kerohanian dalam skala lebih besar.

“Ini percubaan pertama kami. Jika sambutan menggalakkan, kami bercadang memperbesarkan lagi penganjuran pada masa depan.

Kalau menunggu semua sempurna baru mahu buat kebaikan, sampai bila pun tidak akan bermula. Kami hanya menjadi asbab, selebihnya hidayah dari Allah,” kongsinya.

Jualan tiket dikendalikan Ticketmelon dan Fantopia dengan harga antara RM250 hingga RM350 termasuk kategori khas pelajar.

Konsert Malam Qolbu merupakan kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Aftermusic Project bersama Laskar Entertainment. Inisiatif tersebut diperkuatkan barisan tenaga muda termasuk Mualim Muda Anas serta Mualim Muda Ashraf dalam membawa pendekatan dakwah lebih dekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok