MAHKAMAH Syariah Gombak Barat menolak permohonan penarikan kes tuntutan pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan Datuk Red terhadap bekas isterinya yang juga penyanyi, Adira Suhaimi pada Disember tahun lalu.
Perkara tersebut diputuskan Hakim Nurul Hidayah Jani pada prosiding yang berlangsung hari ini selain menangguh kes pada 9 Julai depan.
Menurut Peguam syarie mewakili Datuk Red iaitu Muhammad Akmal Amzan, keputusan penarikan tuntutan tersebut adalah disebabkan mahkamah mahu mendengar hujah pihak plaintif (Datuk Red) dan defendan (Adira) terlebih dahulu.
“Pihak mahkamah hari ini mahu mendengar keterangan kedua-dua pihak dulu sama ada bercanggah atau tidak. Maknanya kita hendak sahkan dulu perbicaraan, keterangan bercanggah atau tak.
“Hanya mahkamah sahaja boleh tentukan kes ni jalan atau tidak.
“Jadi, mahkamah kata bicara dulu, teruskan perbicaraan dulu,” katanya kepada HibGlam selepas prosiding permohonan penarikan balik kes berkenaan, hari ini.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Adira, Nor Saidah Zakaria pula berkata, pihaknya menerima notis penarikan kes itu daripada pihak plaintif pada Mei lalu.
Ujarnya, permohonan tersebut bergantung kepada keputusan mahkamah sama ada mahu membenarkan atau menolaknya.
“Pengesahan lafaz talak dan lafaz rujuk tetap perlu mengikut hukum syarak. Jadi, kita akan mohon kepada mahkamah sama ada mahkamah benarkan atau tidak.
“Tapi pada prosiding tadi, mahkamah menolak permohonan plaintif untuk penarikan balik kes. Jadi, perlu teruskan dengan keterangan defendan pada tarikh akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, mahkamah menangguhkan prosiding pengesahan lafaz rujuk yang berlangsung pada 23 April itu kepada hari ini yang diteruskan dengan permohonan penarikan balik kes oleh Datuk Red atau nama sebenarnya, Datuk Seri Adnan Abu.
Sebelum ini, Adnan melalui permohonan difailkan pada 18 Disember lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh iddah selepas perceraian, namun Adira dilaporkan tidak mengesahkan perkara tersebut.
Adira juga sebelum ini meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Datuk Red yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk mereka.
Dia turut mendedahkan usahawan itu meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes selain menggugurkan kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang.
Datuk Red pula bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah membuat sebarang tawaran itu.
Adnan turut hadir ke program Talk To My Manager 2 dua minggu lalu untuk memberi sokongan terhadap anaknya, Anggrek selain ingin memohon maaf kepada Adira atas kekhilafan yang berlaku di mahkamah semasa prosiding pengesahan rujuk mereka baru-baru ini. – HIBGLAM
