BERKONGSI detik duka dalam hidup, pelakon Hannah Delisha mengalami keguguran ketika usia kandungannya memasuki minggu ke-12 apabila degupan jantung bayi terhenti secara tiba-tiba.
Berikutan peristiwa perit itu, pemilik nama lengkap Hannah Adlina Blackburne Birch, 29, dimasukkan ke hospital bagi menjalani prosedur mencuci rahim atau Dilatation and Curettage (DNC).
“Saya dapat tahu hamil apabila usia kandungan memasuki lapan minggu. Tetapi minggu ke-12, saya keguguran.
“Minggu ke-12 juga saya dapat tahu jantung bayi berhenti berdegup. Pertama kali saya berkampung lama di hospital untuk prosedur DNC.
“Rasa ‘down’, siapa yang nak masuk hopital dan itu peristiwa yang sangat mengejutkan,” katanya dalam sebuah audio siar.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Andai Itu Takdirnya itu mengakui berasa sangat teruja berkunjung ke klinik sebelum itu bagi mendengar degupan jantung bayi dalam kandungannya buat kali pertama.
“Saya dapat tahu tiada degupan jantung ketika pertama kali mahu mendengarnya. Biasanya minggu ke-12 sudah boleh dengar.
“Itu kali kedua berjumpa dengan doktor dan saya sangat teruja,” ujarnya.
Bagaimanapun, suasana ceria bertukar hiba apabila riak wajah doktor yang memeriksa kandungannya tiba-tiba berubah sebelum memanggil jururawat lain demi mendapatkan kepastian.
“Ketika itu, wajah doktor tiba-tiba berubah. Dia kemudian memanggil seorang jururawat untuk mengesahkan perkara itu.
“Dia cakap ‘Hannah, Imam, kami minta maaf, jantung bayi sudah terhenti’,” kongsinya.
Pada masa sama, Hannah memaklumkan kehilangan tersebut turut memberi tamparan hebat buat suaminya, Imam Shah meski cuba menyembunyikan kesedihannya.
“Imam sangat ‘down’ ketika itu. Saya nampak dia terpaksa jadi kuat dan itu buat saya makin menyayanginya.
“Dia nampak sangat sedih cuma tak tunjuk. Dia minta maaf tapi saya cakap tidak perlu benda dah jadi,” tutur Hannah yang berharap dapat bertemu anaknya di syurga.
Untuk info, Hannah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Singapura, Imam atau Muhammad Imam Shah Abdul Mutalib, 37, pada 18 Februari 2021. – HIBGLAM
