‘RM30,000 milik Anggrek, dia anugerah yang sangat luar biasa’

MEMBAWA pulang ganjaran wang tunai RM30,000, penyanyi Adira masih belum mempunyai perancangan untuk menggunakan wang kemenangan anaknya, Anggrek yang dinobatkan sebagai juara program Talk To My Manager musim dua (TTMM2).

Adira atau nama lengkapnya, Siti Adira Suhaimi, 34, berkata, hadiah itu adalah hak mutlak Anggrek dengan sebarang keputusan mengenai penggunaannya hanya akan dibuat selepas mereka berbincang.

“Sebenarya saya pun tak tahu lagi nak buat apa dengan duit kemenangan itu, cuma yang pasti duit adalah milik Anggrek. Itu sahaja yang saya boleh cakap buat masa sekarang.

Beri kami sedikit masa untuk fikir sebab tak jangka kemenangan ini memandangkan semua finalis lain hebat belaka.

“Nanti kami akan berbincang tetapi duit itu memang hak mutlak dia,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan hadiah kepada pemenang di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.

Menurut ibu kepada empat anak itu, selaku pengurus dia mengagumi bakat semula jadi puteri sulungnya yang berusia sembilan tahun itu sepanjang 10 minggu bertarung dalam pertandingan tersebut.

Katanya, sepanjang tempoh itu dia tidak menyangka Anggrek mampu berdepan cabaran sekali gus menunjukkan aksi bertenaga terutama pada malam kemuncak TTMM2.

“Sejujurnya saya sendiri tidak menjangka Anggrek sehebat malam tadi. Kami bersyukur pengorbanan, air mata serta keringat dicurahkan membawa kejayaan manis.

Ini semua adalah anugerah daripada Allah. Pada usia sekarang dia boleh menyanyi pelbagai genre, membuat persembahan langsung pentas, hafal lenggok tarian dan lirik, selain menampilkan ekspresi wajah yang sesuai persembahan. Itu sendiri satu pencapaian.

“Kalau tanya saya, selepas 16 tahun berada dalam industri pun saya rasa belum tentu mampu buat macam Anggrek. Sebab itu saya rasa Anggrek merupakan anugerah yang sangat luar biasa,” ujarnya.

Tambah Adira lagi, Anggrek juga mempunyai dua karakter berbeza iaitu apabila berada di pentas serta dalam kehidupan harian.

Karakter dia di luar pentas lain, agak pendiam, pemalu seperti kebanyakan kanak-kanak sebayanya tetapi sebaik naik pentas, dia jadi orang lain.

“Selepas turun dari pentas, dia kembali jadi Anggrek yang sama. Dia masih lagi anak Adira Suhaimi,” ulasnya.

Menerusi malam kemuncak TTMM2, pasangan anak beranak itu dinobatkan sebagai juara apabila menonjolkan persembahan mantap sekali gus menewaskan empat finalis lain.

Pemilik nama lengkap Anggrek Adnan Abu meraih sorakan gemuruh menerusi lagu Aku Stacy untuk persembahan solo serta Sutera duet bersama Aisha Retno.

Naib johan dimenangi Hussain bersama pengurusnya, Jamilulhayat dengan wang tunai RM15,000 serta trofi, manakala tempat ketiga diraih, Datuk Seri Vida dan Cik Cik yang membawa pulang RM10,000 berserta trofi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok