Usia berstatus ‘pak cik’ tapi lagu, visual harus muda

SELEPAS 17 tahun membawa haluan masing-masing tanpa sebarang perancangan untuk menyatu semula, kumpulan X-Factor akhirnya kembali mewarnai industri muzik tanah air.

Dianggotai Fendi, Jim, Shah, Zach dan Danny, kemunculan semula X-Factor bukan sekadar mengubat kerinduan peminat era 2000-an, malah menjadi bukti bahawa persahabatan dan minat terhadap muzik tidak pernah mati ditelan masa.

Menariknya, penyatuan semula X-Factor berlaku secara tidak dirancang ketika mereka terlibat dalam Konsert Elite penghujung tahun lalu.

Menurut Danny, mengumpulkan kesemua anggota selepas hampir dua dekad bukan tugas mudah, apatah lagi ada yang terputus hubungan.

“Sepanjang 17 tahun kami tidak pernah bergaduh. Cuma masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri, kerjaya, keluarga dan perniagaan.

“Malah, kami tidak pernah ada group WhatsApp. Danny dan Zach masih dalam industri, Fendi dan Jim bekerja dalam sektor perbankan, Shah pula berhijrah ke Australia sebelum kembali ke Malaysia.

“Jadi, bila dipanggil untuk konsert Elite, itu sebenarnya kali pertama kami berkumpul semula selepas sekian lama,” kata Danny.

Menurut Zach, sambutan yang diterima selepas konsert tersebut membuka mata mereka bahawa nama X-Factor masih ada tempat dalam hati peminat.

KONSERT Elite menjadi titik mula penyataun kembali anggota X-Factor sehingga terbuka hati untuk muncul dengan single baharu berjudul Walu Walu.
– AMIR KHALID

Karya baharu

Lebih mengujakan, video persembahan mereka turut mendapat perhatian pengguna media sosial sehingga mencetuskan idea untuk menghasilkan karya baharu.

“Pada mulanya kami hanya mahu berseronok dan mengubat rindu peminat. Tetapi selepas melihat sambutan yang diterima, kami fikir kenapa tidak hasilkan lagu baharu?

“Kebetulan Jim mempunyai beberapa karya yang sesuai dengan identiti X-Factor, lalu kami duduk bersama dan memilih lagu yang dirasakan paling tepat untuk kemunculan semula ini,” ujar mereka.

Maka lahirlah single terbaharu berjudul Walu Walu, ciptaan Jim yang dipilih secara sebulat suara semua anggota.

Menurut Jim, lagu tersebut mengangkat tema perjalanan dan kebangkitan semula X-Factor selepas sekian lama menyepi.

“Lirik Walu Walu sebenarnya menggambarkan perjalanan kami. Sebab itu kami rasa lagu ini paling sesuai dijadikan single pertama selepas kembali bersama,” katanya.

Tidak sekadar mempertaruhkan melodi segar, Walu Walu turut menampilkan gabungan lirik Melayu, Inggeris dan Korea bagi mendekati generasi muda.

Malah konsep video muziknya juga disuntik elemen Gen Z menerusi permainan warna ceria dan gaya visual moden.

“Kami tidak mahu terlalu terikat dengan nostalgia kerana itu akan mengehadkan kelompok pendengar.

“Kami cuba mencari titik tengah supaya peminat lama boleh menikmati lagu ini, pada masa sama menarik perhatian generasi baharu. Mungkin usia kami sudah berstatus pak cik-pak cik tetapi lagu dan visual harus nampak muda,” jelas Fendi.

BUKAN bersifat sementara, kemunculan semula X-Factor dalam industri seni diharap dapat mengubat kerinduan peminat terhadap mereka.

 

Kelantan

Lebih menarik, kemunculan semula X-Factor bukan sekadar projek bersifat sementara. Kumpulan tersebut mendedahkan mereka sudah pun menyiapkan rakaman sebuah lagi lagu baharu bergenre balada yang bakal dilancarkan selepas Walu Walu.

“Single kedua sudah siap dirakam. Kami semua sudah bersetuju dengan lagu tersebut dan ia berbeza daripada Walu Walu kerana lebih berkonsepkan balada,” kata Shah.

Selain perancangan mengeluarkan lebih banyak karya, X-Factor juga sedang menyusun langkah untuk mendekati peminat menerusi sebuah showcase khas yang dijangka berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada September depan.

Negeri Kelantan dipilih kerana mereka mahu memberikan peluang kepada peminat di luar Lembah Klang menikmati persembahan secara lebih dekat.

“Kami mahu bermula di Kelantan kerana pilihan hiburan di sana agak terhad berbanding Kuala Lumpur. Kami mahu bertemu peminat yang benar-benar menghargai muzik kami.

“Selepas itu barulah kami akan merancang aktiviti di lokasi lain,” ujar Danny.

Biarpun sedar kemunculan semula mungkin mengundang pelbagai reaksi dalam era media sosial, X-Factor memilih untuk melihat setiap komen netizen secara positif.

Bagi mereka, tujuan utama kembali bukan untuk bersaing dengan penyanyi muda, sebaliknya mahu terus mewarnai industri hiburan dengan karya berkualiti dan mesej positif.

“Dulu kami dikenali dengan imej yang bersih dan lagu-lagu membawa nilai positif. Itu yang kami mahu kekalkan.

“Kami bukan mahu berlawan dengan generasi baharu, sebaliknya ingin terus menjadi sebahagian daripada industri yang pernah membesarkan nama kami.

“Kalau dulu X-Factor mewarnai zaman remaja peminat, kali ini kami kembali untuk mewarnai kehidupan mereka yang sudah meningkat usia,” kata mereka yang berharap kemunculan semua ini diterima ramai.

SEBAGAI bukti keseriusan untuk kembali aktif, X-Factor yang masih dianggotai ahli asal (dari kiri), Danny, Fendi, Zach, Shah dan Jim sudah merakam lagu kedua yang bergenre balada khas buat peminat setia mereka.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok