PELAKON Fattah Amin menafikan dakwaan mengaitkan dirinya dan isteri, Amira Othman dengan sebuah video tular yang memaparkan insiden keganasan terhadap seorang wanita warga Indonesia.
Menerusi kenyataan dimuat naik dalam media sosial, Fattah berkata, dia dan isterinya maklum mengenai beberapa hantaran yang tular kebelakangan ini memuatkan dakwaan palsu serta berunsur fitnah terhadap mereka.
“Salam Muharram. Saya dan isteri telah mengambil maklum mengenai beberapa hantaran yang baru-baru ini tular mengandungi dakwaan palsu dan berunsur fitnah terhadap kami berdua.
“Sehubungan itu, kami sertakan kenyataan media rasmi yang dikeluarkan peguam kami serta berharap semua pihak tidak terlibat atau meneruskan sebarang bentuk spekulasi tidak berasas selepas ini. Terima kasih,” katanya di Instagram.
Susulan penularan dakwaan tersebut, firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors yang mewakili pasangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang kaitan anak guam mereka dengan insiden diperkatakan netizen.
Wakil firma guaman itu juga menegaskan, Fattah dan Amira bukan individu dalam klip video tersebut serta tidak terlibat dengan insiden keganasan yang berlaku sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
“Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa anak guam kami bukan individu-individu di dalam klip video tersebut dan tidak terlibat dengan insiden keganasan di dalam paparan disebarkan.
“Oleh yang demikian, anak guam kami dengan rendah hati menyeru agar warga internet di rantau ini menurunkan sebarang penerbitan berunsurkan maklumat palsu serta kenyataan fitnah ini dan seterusnya berhenti daripada terus menularkannya,” tulis kenyataan itu.
Firma berkenaan turut menegaskan bahawa anak guam mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan atau menerbitkan kenyataan palsu.
Pada masa sama, pihak peguam memaklumkan Fattah dan Amira menerima pelbagai kecaman, kritikan serta komen menghina sejak dakwaan berkenaan mula tersebar dalam media sosial.
“Setakat hari ini, fitnah ini terus disebarkan dan ditularkan warga maya secara meluas sehingga melibatkan pengguna-pengguna di negara jiran,” ujarnya.
Pada 13 Jun lalu, tular sebuah video memaparkan insiden keganasan fizikal membabitkan empat individu terhadap seorang wanita warga Indonesia dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah.
Susulan penularan video itu, terdapat segelintir netizen membuat perkongsian berbaur fitnah yang mengaitkan Fattah dan Amira dengan individu yang terlibat dalam insiden berkenaan. – HIBGLAM
