Banyak godaan perlu saya tepis – Luo Zheng

MESKI menempa populariti di seluruh Asia, pelakon dan penyanyi dari China, Luo Zheng yang bakatnya dicungkil menerusi program Idol Producer tidak pernah mendabik dada.

Bahkan, jejaka pemalu itu mengakui status orang popular sama sekali tidak mengubah siapa dirinya dan mahu kekal membumi.

“Saya meletakkan sempadan yang jelas ketika bekerja dan selepas waktu kerja. Jika tidak terlibat dalam penggambaran atau kerja, saya lebih selesa duduk di rumah.

“Saya masih orang yang sama dan seorang lelaki sederhana. Jika ada masa lapang saya suka mendaki, bermain permainan komputer, berbasikal dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti lelaki seusia saya,” katanya kepada pihak media pada sesi temu bual yang dibawakan oleh laman penstriman, iQIYI baru-baru ini.

Ditebak tentang cabaran terbesar sepanjang bergelar selebriti, sambil tertawa dan tidak berselindung, dia mendedahkan terlalu banyak godaan dalam dunia glamor itu.

“Banyak godaan yang perlu saya hadapi apabila menjadi selebriti. Jadi, saya harus kuatkan diri supaya tidak terpesong daripada landasan yang betul.

“Saya harus kuatkan diri dan ingat tujuan asal saya terjun ke dunia seni. Tetapi saya tidak mahu ceritakan butiran godaan yang saya hadapi, saya serahkan kepada imaginasi anda,” katanya.

TERKENAL dengan watak jejaka kaya dan romantik, Luo Zheng bakal mengejutkan peminatnya menerusi karakter antagonis tidak lama lagi.

 

Terkenal menerusi watak CEO dalam drama Skip A Beat, Perfect Mismatch, Nothing But You, Time To Fall In Love dan terbaharu, You From The Future yang kini hangat ditayangkan di laman penstriman iQIYI, Luo Zheng menyedari karakter seorang CEO seakan-akan sudah menjadi identiti dirinya.

Hal ini disebabkan kekerapannya membawa watak yang hampir serupa dalam setiap drama. Namun tegasnya sebagai pelakon dia cuba memberi ‘rasa’ yang berbeza dalam setiap watak CEO yang diberi kepadanya.

“Walaupun kerap melakonkan watak yang sama saya merasai perubahan dalam setiap karakter yang dibawakan.

“Sebagai pelakon saya juga merasakan mutu lakonan semakin berkualiti kerana setiap watak CEO mempunyai aura dan jalan cerita yang berbeza,” kongsinya.

Apapun, lelaki tinggi lampai itu teruja apabila kemampuan dirinya tidak dilihat terhad pada watak yang sama sahaja apabila mula mendapat perhatian ramai penerbit.

Paling dinantikan adalah projek terbarunya yang akan menonjolkan sisi berbeza sebagai aktor. Tidak lagi membawa watak seorang CEO atau lelaki romantis kerana buat pertama kalinya dia akan tampil dengan karakter antagonis.

“Bulan ini, saya akan menjalani penggambaran sebuah lagi drama. Saya akan menggalas watak penjahat dan harapnya dapat menggambarkan watak ini dengan cukup baik.

“Saya ingin lari daripada watak yang sudah biasa saya bawa. Saya mahu terus kembangkan potensi diri agar menjadi pelakon versatil,” tutur Zheng.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok