SIAPA sangka sebuah lagi drama Korea, Teach You A Lesson yang mengangkat isu buli dalam kalangan pelajar dan guru sekolah berjaya mendunia ketika ini.
Hadir dengan 10 episod yang melonjakkan adrenalin penonton, drama itu kini hangat menjadi sebutan netizen dalam media sosial.
Drama ini mengisahkan Na Hwa-jin lakonan hebat Kim Mu-yeol sebagai Nazir Biro Perlindungan Hak Pendidikan (BPHP) muncul di setiap sekolah yang berdepan isu salah laku dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa.
Meski mengandungi pelbagai babak ganas dan pergaduhan, penonton menzahirkan respons positif yang rata-ratanya menyokong setiap tindakan dilakukan BPHP Korea terhadap golongan tertindas.
Paling menjadi bualan ramai pastinya penampar berbisa yang dihadiahkan Hwa-jin kepada pesalah. Kata netizen, tamparan paling gila dan menggembirakan yang pernah disaksikan.
Sehingga kini, Teach You A Lesson menjuarai carta drama paling popular dalam platform Netflix.
