‘Tak reda, tak halal, takkan maafkan orang buat saya sakit’

KEMELUT kecederaan yang menimpa pelakon Wafariena nampaknya masih belum menemui titik noktah apabila pihak produksi didakwa melarikan diri daripada tindakan saman.

Wafariena, 31, meluahkan rasa kecewa apabila penerbit dan syarikat produksi terbabit ‘ghaib’ serta mengosongkan pejabat mereka bagi mengelakkan diri daripada bertanggungjawab.

“Saya dah keluarkan surat tiga kali, tiba-tiba syarikat itu hilang. Peguam pun dah pergi periksa, memang pejabatnya kosong.

“Selepas itu, penerbit pun dah hilang. Tak boleh buat apa pun.

“Peguam saya dah berinteraksi dengan peguam mereka sendiri tapi hujungnya peguam sana yang tarik diri,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem The Real Mamu, semalam.

Dalam masa sama, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu terkilan apabila terpaksa melunaskan sendiri bil rawatan hospital.

Lebih perit, baki bayaran lakonannya untuk naskhah berkenaan masih belum dijelaskan sehingga hari ini.

“Separuh (kos hospital). Saya bayar ketika itu RM8,000 lebih saya keluar duit saya.

“Selebihnya bayaran terakhir saya kira-kira puluh ribu pun tak dapat sampai sekarang.

“Tak reda, tak halal, tidak maafkan pun. Orang buat kita, penat dengan sakit lagi,” ujarnya lagi.

Berikutan kemelut itu, Wafariena mengesahkan naskhah tersebut tidak dapat ditayangkan kepada umum sebaliknya terus tergantung tanpa penyelesaian.

“Tak boleh tayang sebab tak habis. Sampai sekarang saya punya VO masih ada.

“Mereka tak bayar bayaran terakhir saya tak boleh bagi, benda itu tergantung.

“Kalau keluarkan cerita itu jadi salah sebab saya keluarkan saman,” jelasnya.

Pada 2022, Wafariena mengalami kecederaan iaitu tisu bahagian punggung cedera, manakala perutnya koyak selain berlaku pendarahan sewaktu melakukan aksi lagak ngeri dalam sebuah drama lakonannya.

Ibunya, Suzana Hamad berasa marah atas kejadian yang me­nimpa anak gadisnya lebih-lebih lagi terhadap pengarah yang didakwa tidak berperikemanusiaan dan lepas tangan.

Apa yang membuatkan wanita itu terkilan apabila pengarah tersebut tetap mahu meneruskan penggambaran bagi dua lagi babak dan meminta pelakon itu turun ke set penggambaran walaupun kesakitan sehingga tidak boleh berjalan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok