‘Guna kerusi roda elak bengkak kaki Adrian lagi teruk’ 

PELAKON Amyza Aznan mengakui penggunaan kerusi roda buat anaknya, Adrian Adam bertujuan mengehadkan pergerakan bagi mengelakkan masalah kaki membengkak menjadi lebih teruk.

Amyza, 49, bagaimanapun mendedahkan Adrian pada awalnya menolak cadangan tersebut kerana menganggap dirinya masih kuat dan mampu bergerak sendiri.

“Dia tak nak (kerusi roda), nak berdikari dan tidak mahu bergantung pada kerusi roda.

“Memang betul tapi saya nak kurangkan pergerakan dia takut lagi teruk bengkak.

“Kalau dia rasa nak berjalan, pergilah. Tapi nak jalan dalam pusat beli-belah, takkan nak berjalan sebab itu dapatkan juga kerusi roda,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini. ‘

Ditanya mengenai tahap kesihatan mental buat masa ini, pelakon drama Rindu Kasih itu mengakui masih lagi menitiskan air mata kerana terlalu merindui anak sulungnya yang telah pergi menghadap Ilahi.

“Saya gila-gila masih macam dulu, itu diri saya sebenar dan cara lupakan.

“Cuma perasaan rindu kehilangan tak boleh dibuang sehingga sekarang.

“Sejujurnya setiap hari masih teringat anak, sudah semestinya saya menangis,” jelasnya.

Sebelum ini, anak sulung Amyza iaitu Allahyarham Andre Mikhail, 20, menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 23 Februari lalu.

Amyza dan keluarga turut diuji sekali lagi apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang sejak Februari lalu.

Difahamkan, Adrian kini sedang rawatan alternatif bagi mengubati penyakit berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok