‘Saya pembawa talasemia, tak disaran hamil lagi’

SEBAGAI individu pembawa talasemia, penyanyi Shila Amzah kini tidak disarankan doktor untuk tidak lagi menambah bilangan cahaya mata, sekali gus melupakan impiam hamil anak ketiga.

Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 36, menjelaskan keadaan badannya yang kekurangan darah boleh mengundang kepada implikasi teruk dan berbahaya sekiranya kembali hamil.

“Kenapa doktor kata tak boleh yang ketiga sebab bila bersalin secara normal atau pembedahan, banyak pertumpahan darah berlaku.

“Jadi, bila orang yang tidak cukup darah macam saya, akan mengakibatkan risiko untuk saya sebab itu doktor tak mencadangkan untuk saya ada yang ketiga,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Masih Aku Cinta itu, status kesihatannya mula dikesan sewaktu mengandungkan anak sulung selepas pemeriksaan mendapati bacaan hemoglobinnya berada pada tahap yang sangat rendah.

“Selalunya ibu mengandung akan tengok bacaan hemoglobin dan saya punya boleh turun sampai enam. Doktor pelik macam mana saya masih boleh berjalan.

Jadi buatlah pemeriksaan darah, rupa-rupanya saya ada talasemia tapi saya seorang pembawa. Maksudnya saya ketahui semasa mengandungkan Seth,” jelasnya.

Meskipun pernah memasang impian untuk memiliki keluarga yang besar, Shila reda dengan takdir tersebut dan mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada dua permata hatinya.

“Saya reda, okey sahaja. Dalam ekonomi sekarang, dua sudah cukup.

Sudah tentu saya pun mengimpikan juga kalau lagi ramai lagi meriah tapi bila doktor cakap macam itu pun kita terima.

“Mungkin Allah mahu saya beri lebih fokus kepada Seth dan Rhea,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai penerimaan suami, Ubai, Shila berasa syukur apabila pasangannya sangat memahami situasi berkenaan dan meletakkan tahap kesihatan dirinya sebagai keutamaan.

“Suami saya sangat okey, dia sejenis santai. Jadi untuk keputusan-keputusan besar seperti ini, sudah tentu kita berdua sentiasa berbincang.

Apa-apa pun suami saya cakap dengan saya,’Ini badan awak, apa-apa yang awak rasa, keselesaan badan awaklah, saya terima sahaja’,” tuturnya lagi.

Sebelum ini, Shila mendedahkan menghidap talasemia kerana faktor genetik yang diwarisi sebelah bapanya.

Sekadar info, Shila mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 5 Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Rhea Akira yang kini berusia dua tahun.

Shila juga memiliki seorang anak lelaki iaitu Seth Uwais, 6, hasil perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok