‘Kecewa, rasa bersalah ‘ – Harissa Adlynn menangis kena ‘prank’

PELAKON Harissa Adlyn menangis teresak-esak di set penggambaran sebelum tersenyum lega selepas mengetahui situasi tersebut hanyalah satu ‘prank’ sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-23.

Segalanya bermula apabila pasukan produksi drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar dan stesen televisyen, Astro kononnya menegur lakonannya hambar dan tidak sampai, malah teguran tersebut turut disokong rakan gandingan, Keith Foo.

Lebih menyedihkan, komitmen dan kredibilitinya sebagai pelakon juga dipertikai sekali gus menyebabkan ‘rating’ drama tersebut terus menjunam.

Dalam keadaan tertekan, Harissa atau nama sebenarnya Harissa Adlynn Abdul Halim itu dilihat tidak mampu menahan emosi, berulang kali memohon maaf kerana merasakan dirinya mengecewakan produksi.

Saya sudah cuba sehabis baik dan minta maaf jika saya mengecewakan sesiapa. Saya benar-benar berusaha,” ungkapnya dalam video tersebut.

Namun, suasana berubah sekelip mata apabila dia dimaklumkan semua itu hanyalah gurauan dirancang khas sempena hari lahirnya.

Mengulas perkara tersebut, Harissa mengakui pengalaman itu cukup mengejutkan selain meninggalkan kesan mendalam buat dirinya sebagai pelakon.

Sejujurnya saya memang terkejut, kecewa dan rasa bersalah dalam masa sama. Dunia lakonan ini melibatkan ramai orang, jadi tekanan itu sangat terasa.

“Terima kasih kepada stesen televisyen, Astro dan Bambam Studios kerana ingat hari lahir saya. Momen ini pasti akan saya kenang setiap kali tiba ulang tahun kelahiran,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Tambahnya lagi, dia sudah memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan watak dalam drama tersebut dan berharap hasil kerja mereka dapat diterima penonton.

Ini antara watak yang sangat berat dan kompleks untuk saya bawa kerana emosinya turun naik.

“Saya sudah berikan yang terbaik untuk Ungku Jabbar. Harap penonton menikmati setiap episod,” ujarnya.

Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, rata-rata bersimpati dengan keadaan Harissa selain menganggap gurauan tersebut agak melampau

“Sedih tengok dia menangis, nampak betul-betul ikhlas. Selamat Hari Lahir Harissa, awak memang berbakat jadi pelakon, teruskan berusaha ya.

“Terlalu ‘real’ prank ini, sampai boleh jatuh emosi. Kalau saya di tempat Harissa pun bukan kata menangis, saya akan berlalu pergi.

“Tapi bagus juga, nampak kesungguhan dia dalam kerja,” antara komen netizen.

Untuk rekod, drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar kini bersiaran dalam Slot MegaDrama di Astro Ria sejak 20 April lalu.

Naskhah arahan Rashid Sibir itu turut dibintangi Ezaidi Aziz sebagai Ungku Jiyad selain Keith Foo sebagai Ungku Jabbar dan Harissa sebagai Nilam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok