ENGGAN sisa hidup sia-sia, pelakon Zahirah MacWilson mengakui dirinya mengidamkan kehidupan tenang dikelilingi alam semula jadi apabila usia semakin lanjut kelak.
Ujar Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah Macwilson Zainol Macwilson, 31, dia membayangkan hari tua dihabiskan jauh daripada hiruk-pikuk kota, dengan rutin santai dan mendamaikan jiwa.
“Bila sudah tua nanti, saya mahu tinggal di tempat yang tenang dengan pemandangan cantik.
Saya mahu bertani, jaga pokok bunga dan nikmati hidup secara sederhana,” katanya dalam Threads.
Tambah bintang drama Good Boys Go To Heaven itu, selain menikmati suasana damai, dia juga berhasrat mengembara bersama suami ke pelbagai destinasi dunia.
Selepas itu, saya mahu mengembara bersama suami. Kami boleh tinggal dua atau tiga bulan di satu benua untuk meneroka tempat baharu.
“Kalau anak atau cucu ada masa ketika itu, mereka boleh ikut sekali.
“Bayangkan betapa seronoknya,” ujarnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan ramai menyifatkan impian tersebut sebagai kehidupan idaman.
“Hidup tenang macam ini memang impian ramai.
Simple tapi penuh bahagia.
“Semoga jadi kenyataan satu hari nanti,” tulis netizen.
Namun, terdapat juga segelintir yang berpendapat impian tersebut memerlukan perancangan rapi, khususnya dari aspek kewangan dan komitmen keluarga. – HIGBLAM
