DUA selebriti terkenal, Lisa Surihani dan Tomok selamat mengikuti para jemaah Irkaz Travel & Tours ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima iaitu ibadah Haji bagi musim 1447H/2026M pada Khamis lalu.
Siapa sangka, di sebalik senyuman, pelukan terakhir dan lambaian tangan para ahli keluarga di lapangan terbang, tersimpan rasa rindu, air mata dan doa yang tidak terungkap.
Namun demi mengejar haji yang mabrur, para jemaah memilih untuk melangkah dengan penuh keikhlasan dan ketabahan.
Menurut Lisa, pengorbanan paling terbesar yang perlu ditempuh saat berangkat ke Tanah Suci adalah meninggalkan anak-anak, suami dan ibu tercinta.
“Pengorbanan paling besar yang saya rasa paling dirasai adalah meninggalkan suami, anak-anak dan mak,” kata Lisa dalam video yang dimuat naik akaun Instagram rasmi Irkaz Travel.
Melalui video yang dikongsikan turut dapat dilihat deraian air mata anak sulung Tomok iaitu Arrian Shah Akid yang gagal menahan emosi saat terpaksa berjauhan dengan kedua ibu bapanya.
Tahun ini turut mencatat sejarah yang amat bermakna buat Irkaz Travel & Tours apabila diberikan kepercayaan sebagai Pengelola Jemaah Haji.
Amanah besar ini diterima dengan penuh rasa syukur serta komitmen tinggi dalam memastikan kebajikan dan keselesaan para jemaah sentiasa menjadi keutamaan.
Dalam usaha mempertingkatkan lagi pengalaman para tetamu Allah, tahun ini juga menjadi langkah baharu buat keluarga Irkaz apabila Irkaz Gourmet melalui Irkaz Gourmet Central Kitchen di Mekah bakal memulakan operasinya buat pertama kali.
Inisiatif ini membolehkan para jemaah Haji Irkaz menikmati sajian makanan yang disediakan sendiri di Aziziyah nanti.
Menurut pihak pengurusan Irkaz Travel & Tours, usaha tersebut bukan sekadar untuk mengurus perjalanan ibadah, tetapi bagi memastikan setiap jemaah merasa lebih dekat, lebih selesa dan lebih terjaga seperti keluarga sendiri sepanjang berada di Tanah Suci.
“Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan para jemaah bukan sahaja mendapat perkhidmatan terbaik, malah merasai ketenangan dan sokongan sepanjang melaksanakan ibadah Haji. Kami berharap seluruh perjalanan ini dipermudahkan dan dikurniakan Haji yang mabrur buat semua jemaah,” katanya. – HIBGLAM
