[VIDEO] Saling merindu, kami bertunang semula Ogos lalu – Anju

“KAMI bertunang sekali lagi selepas sedar saling merindu dan memerlukan.”

Demikian pengakuan pelakon, Zarina Anjoulie atau lebih mesra membahasakan diri Anju yang kembali bergelar tunangan kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khazrul Elzey pada Ogos lalu.

Menurut aktres berusia 36 tahun itu, keputusan berkenaan direstui keluarga disusuli dengan kunjungan keluarga pihak lelaki membawa cincin bagi menyambung semula ikatan pertunangan yang terputus enam bulan lalu.

“Kami rapat semula sekitar Julai dan mengambil keputusan bertunang semula pada bulan lalu selepas sedar masing-masing merindu dan memerlukan antara satu sama lain.

“Tak rasa ke kami ini sama-sama gila? Sebab itu boleh bersama. Dua-dua sayang. Lagipun anak saya rapat dengan dia, begitu juga sebaliknya. Saya pun malas nak cari lelaki lain,” katanya kepada HibGlam.

Anju ditemui bersama anak tunangnya, Syareen Khazrul Elzey ketika hadir ke majlis pelancaran dan pengumuman Fasha Sandha sebagai jamu Beunita baru-baru ini.

Menurut pelakon Hantu Kuat Ketawa itu, pertelingkahan yang berlaku sebelum ini menjadi pengajaran terbesar dalam memelihara keharmonian ikatan kali ini.

“Masing-masing ada silap. Perkara pertama yang harus dilakukan adalah perbetulkan kesilapan diri, muhasabah dulu,” ulasnya.

Mengulas perancangan melangkah ke jenjang pelamin, ibu kepada seorang cahayama mata itu berkata, dia enggan tergesa-gesa ke arah itu, sebaliknya selesa mengikut ketentuan takdir yang tertulis buat mereka.

“Kami belajar daripada pengalaman lalu tapi kalau boleh tak mahu lama sangat bertunang. Niat memang ada tapi soal jodoh ketentuan Allah. Menjadi atau tidak, saya sendiri tidak tahu.

“Dahulu mungkin terburu-buru, tiga bulan kenal terus nak kahwin. Sekarang saya dan Datuk Seri tidak mahu menaruh apa-apa harapan.

“Nanti kalau berharap sangat kami gaduh pula. Kalau jadi, Alhamdulillah. Tak jadi pun tak mengapa, kami dah janji tak akan bergaduh lagi,” katanya.

Terdahulu, perkongsian gambar bersama lelaki berstatus duda itu di laman sosialnya baru-baru ini mencetus tanda tanya ramai berikutan mereka pernah melalui fasa putus tunang yang teruk.

Sebagai rekod, Anju, 36, dan Khazrul, 45, yang bertunang pada 26 Januari lalu mengakhiri ikatan antara mereka sebulan kemudian, malah insiden berbalas kenyataan selepas itu menjadi bualan hangat netizen. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok