‘Rumah tangga kami hampir musnah, tunggu masa saja’

PENYANYI Tom akan terus mempertahankan rumah tangganya dengan Fuad Rahman meski sebelum ini mahligai yang dibina bersama pernah retak menanti belah.

Menurut Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram, 41, terlalu banyak perkara yang berlaku sejak mendirikan rumah tangga dengan Fuad namun bersyukur Tuhan memberikan peluang kedua bagi memperbaiki setiap kesilapan dilakukan.

“Tiga tahun pertama perkahwinan orang cakap memang banyak perkara akan berlaku.

“Selama enam bulan kita hadap keadaan rumah tangga hampir musnah, hujung-hujung sudah tunggu masa saja.

“Tetapi Allah SWT yang tententukan semua. Tidak mengapa, kita cuba lagi. Manalah tahu kali ini akan okey sehingga ke akhir hayat,” katanya dalam platform Threads.

Tambahnya, peluang yang diberikan untuk rumah tangganya adalah bagi memperbaiki setiap kesalahan dilakukan sebelum ini.

“Peluang kedua bukan tentang melupakan perkara lalu sebaliknya belajar daripadanya.

“Kita cuba lagi Mohamed Fuad Rahman,” katanya lagi.

Terdahulu, Tom menerusi satu hantaran Facebook mendakwa bakal bercerai dengan Fuad yang didakwa berpunca daripada kecurangannya sendiri.

Namun mereka dilihat kembali berbaik selepas Tom memuat naik video seakan-akan kembali ke kediaman mereka dan memeluk Fuad serta anak-anaknya.

Sebelum ini, pernah timbul desas-desus perkahwinan mereka dilanda kemelut tetapi dinafikan kedua-duanya.

Mereka disatukan pada 26 Februari 2023 selepas sama-sama terlibat dalam program Gegar Vaganza musim ke-9.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Anggun Lovellia yang kini berusia dua tahun.

Sebelum itu, Tom pernah berkahwin sebanyak tiga kali namun berakhir dengan perceraian dan memiliki tiga anak lelaki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok