MEMIKUL tanggungjawab sebagai pencari nafkah utama sejak usia remaja membentuk pelakon Diana Danielle menjadi wanita cekal dalam membesarkan anak-anak.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, bagaimanapun berkata, perjalanan hidupnya bukan mudah, malah sering dihantui rasa tidak cukup baik sebagai seorang ibu.
“Saya tidak sedih melihat anak-anak semakin membesar, malah bangga dengan diri sendiri walaupun selama ini saya selalu rasa tidak cukup baik sebagai ibu.
“Saya habiskan banyak masa bekerja. Sejak remaja lagi saya sudah menjadi pencari nafkah utama. Saya hanya tahu bekerja.
“Jadi anak-anak terpaksa berkongsi masa saya dengan kerjaya,” katanya dalam Threads.
Ujar bintang filem Imaginur itu, perasaan ragu-ragu terhadap kemampuan diri sering hadir, terutama apabila berdepan keletihan dan kekangan masa.
“Saya selalu persoalkan diri, cukupkah saya untuk anak-anak? Ada masa saya terlalu penat untuk melayan mereka.
“Saya risau mereka rasa jauh dengan saya. Namun saya tahu, saya sudah beri segalanya sebagai ibu. Walau penat atau sakit, saya tetap cari masa dan rezeki untuk membahagiakan mereka,” luahnya.
Bagaimanapun kata Diana, segala pengorbanan dibalas dengan kasih sayang luar biasa daripada anak-anaknya sehingga menyentuh hati.
“Sekarang, setiap hari saya dengar kata-kata seperti ‘terima kasih ibu kerana bekerja keras untuk kami’.
“Mereka juga cakap saya ibu paling baik dan paling manis pernah mereka ada.
“Malah mereka kata, ‘kalau ibu rasa tak cukup baik, ketahuilah ibu adalah ibu terbaik dan kami sayang ibu lebih daripada seluruh alam ini’,” katanya penuh emosi.
Tambahnya lagi, dia tidak pernah menyangka akan dihargai sedemikian rupa oleh anak-anaknya.
“Saya tidak pernah fikir akan disayangi sebegitu hebat oleh anak-anak.
“Allah Maha Pengasih, melalui anak-anak, Dia kembalikan harga diri dan ketenangan saya.
“Mereka adalah kiriman paling indah dalam hidup saya,” luahnya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai apabila rata-rata netizen tersentuh dengan kejujuran diluahkan selain memuji ketabahan Diana sebagai ibu tunggal yang bekerja keras.
Untuk rekod, Diana pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Farid Kamil pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 13, serta Nur Aurora, 11.
Pasangan itu pernah bercerai secara dalam talian pada 10 Ogos 2023 sebelum kembali rujuk, namun berpisah buat kali kedua dengan talak satu pada 23 Mac 2025. – HIBGLAM.
