“SAYA tiada masalah kalau ada yang nak cari salah, itu hak masing-masing.”
Demikian respons pelakon Beto Kusyairy yang terbuka menerima sebarang kritikan dan pendapat mengenai naskhah terbaharunya, Libang Libu.
Menurut Beto atau nama asalnya Nurkusyairy Zakuan Osman, 46, kecenderungan untuk mencari kelemahan hanya akan menutup ruang bagi penonton menghargai perincian halus yang cuba disampaikan dalam sesebuah babak.
Tapi pada saya, rugilah kalau kita tengok sesuatu karya semata-mata untuk cari kekurangan.
“Bila kita datang dengan niat nak cari apa yang tak kena, kita sebenarnya dah tutup ruang untuk menikmati cerita itu,” katanya kepada HibGlam pada sesi temu bual khas bersama Beto, hari ini.
Bagaimanapun, bintang filem Gayong 2 itu tidak menafikan jangkaan tinggi penonton yang hadir ke pawagam menjadi punca mereka fokus mencari kelemahan dalam sesebuah filem.
“Mungkin kita dah baca komen yang kata filem ini sangat kelakar atau dapat ‘rating’ tinggi, jadi kita datang dengan jangkaan yang besar.
Bila apa yang kita tengok tak sama dengan jangkaan, kita mula fokus pada kelemahan.
“Memang susah nak berseronok kalau datang dengan pemikiran begitu,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, dia percaya penonton yang hadir dengan minda terbuka akan memahami setiap mesej serta menghayati emosi yang disampaikan.
Kalau kita tengok dengan hati yang lebih terbuka, nak berseronok dan hayati cerita, kita akan nampak perkara yang lebih halus.
“Ada emosi dan perincian yang cuba disampaikan dalam setiap babak,” ujarnya.
Tambahnya, tujuan utama naskhah arahan Bobby Husaini bukanlah sekadar hiburan kosong atau penyampaian mesej yang terlalu berat, sebaliknya mahu memberi kesan yang lebih peribadi kepada individu.
“Kita bukan nak bagi mesej yang berat sangat, tapi kita harap ada rasa ‘terjentik’ dalam diri penonton.
Mungkin lepas tengok, dia mula sedar sesuatu tentang diri sendiri, seperti cara kita menilai orang lain.
“Itu antara rasa yang kita harap penonton boleh bawa keluar dari pawagam,” katanya lagi.
Libang Libu tampil dengan keunikan tersendiri apabila menggunakan loghat Perak sebagai identiti utama, sekali gus memberi warna berbeza dalam landskap filem komedi tempatan.
Diterbitkan Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan Bobby Husaini, Libang Libu mula ditayangkan di pawagam pada 23 April lalu.
Selain Beto, Libang Libu turut dibintangi ramai bintang terkenal tanah air iaitu Amerul Affendi, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman dan Azhan Rani.
Naskhah ini turut diserikan dengan penampilan khas Datuk Yusof Haslam, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa. -HIBGLAM
