Lima selebriti Indonesia ‘beauty with brain’

DUNIA hiburan sering kali dikaitkan dengan glamor dan jadual seni yang padat, namun bagi segelintir artis Indonesia pendidikan menjadi prioriti utama mereka.

Bukan sekadar mengejar gelaran di hadapan nama, barisan artis ini membuktikan bahawa status selebriti bukan penghalang untuk mereka berhempas-pulas menyiapkan tesis sehingga berjaya menggenggam gelaran Doktor Falsafah (PhD).

Meskipun sudah memiliki segala-galanya termasuk kemewahan dan pengaruh, mereka tetap memilih untuk mendalami ilmu dan sanggup berdepan sebarang kesukaran. 

Mereka percaya keberhasilan mengenggam ijazah akademik tertinggi  bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi membuka mata ramai bahawa pendidikan adalah pelaburan seumur hidup yang tidak ternilai. 

  • Rieke Diah Pitaloka

Masih aktif dalam dunia politik, Rieke Diah Pitaloka memiliki latar belakang akademik yang cukup kukuh. 

Wanita berusia 52 tahun itu memulakan pengajian dalam bidang Sastera Belanda di Universiti Indonesia sebelum menyambung pengajian sarjana dalam bidang Falsafah di universiti sama.

Pada 2022, Rieke meraih gelaran  Doktor Falsafah daripada Jabatan Ilmu Komunikasi FISIP Universitas Indonesia. 

Lebih membanggakan, pelakon filem Laskar Pelangi itu menamatkan pengajian dengan predikat cum laude.

  • Zee Zee Shahab

PELAKON  Zee Zee Shahab tidak ketinggalan dalam mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik. 

Pemilik nama sebenar Fauziah Shahab itu meraih Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Trisakti pada 2012.

Dia kemudian menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di Institut Kesenian Jakarta dan akhirnya lulus dengan predikat cum laude (kelulusan dengan kepujian).

Kini, pelakon filem Ada Surga Di Rumahmu itu meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di Institut Seni Indonesia (ISI) Denpasar dalam bidang Seni Penciptaan.

Pada Ogos 2025, dia berkongsi perkembangan terkini tentang dirinya apabila berjaya membentangkan cadangan disertasi, sekali gus mencuri perhatian ramai.

  • Desy Ratnasari

BUKAN sahaja sukses dalam dunia hiburan dan politik, pelakon serta penyanyi Desy Ratnasari juga komited dengan pendidikan.  

Pada Jun 2025, pelakon filem Buya Hamka itu menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Psikologi di Universiti Katolik Indonesia Atma Jaya.

Sebelum itu, Desy, 53, menyelesaikan pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi di universiti sama sebelum melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Psikologi Terapan di Universiti Indonesia pada 2005.

  • Ashanty 

MESKIPUN sibuk menguruskan keluarga besar dan empayar perniagaan, penyanyi Ashanty kini di fasa akhir memburu gelaran Doktor Falsafah dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia di di Universiti Airlangga (UNAIR).

   Pada April 2025, isteri penyanyi dan komposer terkenal Anang Hermansyah itu berkongsi momen penting menjalani sidang cadangan disertasi.

Topik yang diketengahkan berkait rapat dengan dunia muzik iaitu mengenai adaptasi penyanyi generasi Baby Boomers dan generasi X dalam era digital. 

Sidang tersebut berjalan lancar dan pelantun lagu Andai Aku Bisa itu berjaya meraih keputusan cemerlang, sekali gus menghampiri penamat pengajian doktor falsafahnya.

Sebelum itu, dia menyelesaikan pendidikan peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Ilmu Hubungan Internasional di Universiti Paramadina pada 2005.

Setelah itu, wanita berusia 42 tahun itu berjaya menamatkan pengajian Sarjana di Universiti Bina Nusantara dalam bidang pengurusan pada 2018. 

Semangatnya memburu ilmu menjadi inspirasi kepada ramai wanita untuk melakukan perkara sama. 

  • Oki Setiana Dewi 

PELAKON dan pendakwah terkenal, Oki Setiana Dewi sangat komited dalam dunia pendidikan. 

Di sebalik kesibukannya, Oki mengambil serius tentang pendidikannya apabila meraih gelaran doktor pertama dalam bidang Komunikasi Dakwah melalui program pascasarjana di Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta.

Tidak terhenti di situ, kakak kepada Ria Ricis itu kemudian melanjutkan pengajian PhD kedua di Institut Perguruan Tinggi Ilmu Al-Quran dan kini telah menjalani sidang pertahanan tesis.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok