PELAKON dan usahawan Didie Alias ikhlas membantu rakan-rakan artis yang berada dalam kesusahan tanpa mengharapkan balasan mahupun sebarang jawatan presiden mana-mana persatuan.
Menurut Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. Ali, 54, sebagai seorang yang pernah hidup susah, dia memahami perasaan rakan-rakan artis yang ditimpa musibah.
“Mungkin sekarang hari mereka. Nanti masa hadapan, mungkin saya pula yang ditimpa kesusahan.
“Selagi saya ada kelapangan, sihat dan panjang umur, saya akan cuba bantu rakan-rakan artis yang di dalam kesusahan. Bukan sebab saya nak jawatan presiden persatuan.
“Sebagai seorang anak seni kita tahu macam mana kehidupan kawan-kawan kita. Rasa simpati itu kuat,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Suria FM, baru-baru ini.
Kongsinya lagi, setiap kali terdengar khabar rakan artis ditimpa kesusahan, dia akan cuba hubungi untuk bertanya khabar dan menghulurkan bantuan.
Baru-baru ini Azar Azmi sempat hubungi saya sebelum dia ditahan polis. Tetapi selepas itu ada yang sudah membantu dia.
“Bila saya dengar Norish Karman sakit, saya hubungi rakan saya Anne Abdullah untuk mendapatkan kepastian. Kemudian dia beri nombor telefon anak Norish. Saya mesej beri salam. Dia jawab salam saya. Bila saya tanya lebih lanjut tentang ibunya, dia diam. Jadi di situ mungkin saya tidak diperlukan,” jelasnya.
Ditanya sama ada dia mahu menubuhkan persatuan sendiri, kata Didie, dia tidak perlu wujudkan persatuan untuk membantu rakan artis.
Nak tunggu persatuan bertindak agak lambat. Jangan bantu bila ada perkara yang viral sahaja.
“Sepatutnya soal kebajikan anak seni, persatuanlah kena bertindak dulu. Jadi Lebih baik kami bantu sesama kami sendiri. Kita jaga kita.
“Macam kes abang Harun Hashim baru-baru ini. Ketika itu saya berada di Sabah. Jadi saya hantar orang untuk hulurkan bantuan kepadanya. Saya pula dah jadi macam presiden. Tetapi saya tak mahu jadi presiden,” ujarnya.
Terdahulu, ramai netizen kagum dengan semangat setiakawan Didie yang sering dilihat sentiasa ada bersama rakan-rakan artis yang ditimpa musibah terutamanya ketika Amyza Aznan kehilangan anaknya Februari lalu. – HIBGLAM
