PENYANYI Amir Masdi bakal membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa bersama kumpulan orkestra Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) di World Music Contest (WMC) 2026 di Kerkrade, Belanda menjelang Julai nanti.
Seiring penglibatan tersebut, Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi, 30, bersama pasukan orkestra dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya itu bakal mengadakan konsert amal, Wings Of Glory pada 25 April depan bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi tujuan mengumpul dana untuk menampung kos ke sana.
“Saya dilamar untuk buat konsert, asalnya itu yang nombor dua. Yang pertama adalah untuk pergi ke Netherlands bersama SP Winds bagi pertandingan orkestra.
“Tahun lalu mereka pernah menjuarai pertandingan tersebut. Tapi kali ini mereka nak panggil penyanyi juga, jadi mereka pilih saya.
“Tapi untuk ke sana, kami rancang untuk buat satu konsert iaitu Wings Of Glory untuk mencari dana dan mungkin itu antara cara kami berlatih untuk ke sana,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Anugerah Juara Lagu ke-40 Separuh Akhir (AJL40SA) baru-baru ini.
Ditanya mengapa dirinya menjadi pilihan kumpulan orkestra itu, pelantun lagu NurCinta berkata kebolehannya membawakan lagu dalam pelbagai bahasa mungkin menjadi faktor utama.
“Itu kena tanya mereka. Tapi apa yang saya tahu, mereka cakap nak penyanyi versatil dan juga ada nyanyian pelbagai bahasa.
“Mungkin ada lagu Inggeris yang nak dibawakan atau bahasa lain sebab saya pernah bawa lagu Itali dan Jepun.
“Ada beberapa bahasa yang saya berpengalaman untuk menyanyi, yang mana tak mudah pun. Jadi saya sangat berharap saya dapat menyampaikan dengan SPWinds,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Amir mengakui sedikit terkejut apabila jadual pertandingan tersebut bertindih dengan tempoh persediaan Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).
Begitupun, dia tekad untuk memberikan komitmen yang seimbang bagi kedua-dua tanggungjawab besar tersebut.
“Saya dan pasukan terkejut jugalah, dua pertandingan dengan jarak dekat. Saya tak boleh lebihkan mana-mana dan kena seimbangkan kedua-duanya.
“AJL sangat penting untuk kerjaya saya dan SPWinds sangat penting untuk pelajar-pelajar yang mengharapkan orang lebih berpengalaman,” jelasnya.
Meskipun teruja, Amir tidak menafikan wujud perasaan bimbang untuk terbang ke luar negara memandangkan situasi global yang tidak menentu ketika ini.
“Saya pun risau nak ke Netherlands dalam keadaan sekarang. Tapi saya harap okey sikit.
“Saya juga berharap ketika itu tiada apa-apa yang serius dan semoga kami semua dapat pergi dengan hati yang tenang,” tuturnya.
Untuk info, SPWinds pernah melakar nama di peringkat antarabangsa apabila meraih Anugerah Emas pada World Orchestra Festival ke-11 di Vienna Austria pada tahun lalu.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan SPWinds sebagai antara pasukan orkestra sekolah terbaik di negara ini. – HIBGLAM
