MESKI terbuka berkongsi foto bersama seorang lelaki, pelakon Alya Iman enggan mendedahkan status sebenar hubungan tersebut selain mengharapkan doa daripada orang ramai.
Bagi pemilik nama penuh Nur Alya Iman Azmil, 25, itu, keputusan untuk tidak berkongsi terlalu banyak kisah peribadi adalah usahanya untuk menjaga ruang privasi.
Apa saya boleh cakap, apa yang kalian tengok itulah dia. Doakan yang baik-baik sajalah. ‘
“Cakap fasal karier dululah. Saya cuba nak menjaga privasi saya sebaik mungkin.
“”Saya cuma percaya dengan perancangan Tuhan, apa yang terbaik, itulah dia. Itu saja saya mampu cakap,” katanya kepada HibGlam ketika sesi fotografi drama Fathi Gabrielle di Media Prima, kelmarin.
Ditanya sama ada tindakannya secara tak langsung menepis spekulasi mengaitkan dirinya dengan keretakan rumah tangga selebriti Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana, pelakon drama Pabila Dia Tersenyum itu menjelaskan setiap hantaran yang dimuat naik di media sosial hanyalah untuk berkongsi momen peribadi.
“Apa yang saya muat naik bukan nak tunjuk saya bukan punca kes (spekulasi dengan Yusuf) itu.
Apa sahaja yang saya muat naik bukanlah bertujuan untuk membela diri. Saya cuma berkongsi apa yang saya rasa pada saat itu,” ujarnya lagi.
Anak kepada pelakon terkenal Allahyarham Azmil Mustapha itu tetap berpegang pada prinsipnya untuk tidak mendedahkan identiti atau butiran lanjut mengenai jejaka yang sering dilihat bersamanya.
Sebelum ini, Alya memuat naik foto bersama seorang jejaka pada hari raya pertama dengan menggayakan pakaian sedondon.
Dia juga sering dilihat meluangkan masa bersama jejaka itu beberapa kali menerusi Instagramnya. – HIBGLAM
