9
DI sebalik kegembiraan menyambut perkhabaran kehamilan sepupunya, Nelydia Senrose, pelakon Aprena Manrose tidak mampu menyembunyikan rasa sayu mengenangkan perjalanan mereka yang pernah sama-sama melalui fasa usaha memiliki zuriat (TTC).
Aprena atau nama penuhnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 33, meluahkan isi hatinya yang kini sunyi selepas rakan seperjuangannya dalam misi TTC itu kini bakal bergelar ibu tidak lama lagi.
“Nak meluah sekejap. Dulu saya dan Nely (Nelydia) sama-sama TTC, kami kuatkan diri.
Sekarang tinggal saya seorang saja yang belum ada rezeki anak,” katanya dalam Threads.
Malah, pelakon drama Tiada Arah Jodoh Kita itu tertanya-tanya mengenai gilirannya apabila melihat keluarganya sudah memiliki zuriat masing-masing.
“Semua sepupu dah beranak pinak. Saya bila lagi Ya Allah?,” soalnya.
Sebelum ini, Nelydia mengumumkan hamil anak pertama selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Hafez Halimi Abdul Hamid.
Terdahulu, Aprena mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suami, Mohd. Afiq Hazman pada Jun tahun lalu.
Aprena dan Afiq mendirikan rumah tangga pada 12 November 2016 namun tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang tempoh perkongsian hidup mereka. –HIBGLAM
