MENDAFTAR keluar dari hospital sepatutnya menjadi tanda seseorang pesakit semakin pulih, namun bagi ramai rakyat Malaysia, hakikatnya tidak semudah itu.
Selepas discaj, ada yang terkapai-kapai tanpa pemantauan lanjut, tidak pasti rawatan susulan, malah terpaksa berdepan tekanan emosi sendirian.
Lebih membimbangkan, sebahagian pesakit akhirnya ‘hilang’ daripada sistem penjagaan kesihatan sehingga keadaan kembali merosot.
Isu ini yang sering berlaku tetapi jarang dibincangkan secara terbuka kini mula mendapat perhatian apabila IDEAL Health Care tampil mengetengahkan realiti sebenar yang dihadapi pesakit di luar hospital.
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusannya, Dr. Faizi Rosli, sistem penjagaan kesihatan hari ini masih terlalu berfokus kepada rawatan di hospital, tanpa kesinambungan yang jelas selepas pesakit discaj.
Ramai menganggap rawatan selesai apabila pesakit keluar hospital. Tetapi perjalanan sebenar pesakit bermula di situ daripada fasa pemulihan sehinggalah kepada pengurusan jangka panjang, termasuk kesihatan mental.
“Tanpa sistem yang saling berhubung, pesakit berisiko mengalami komplikasi semula, gagal meneruskan rawatan, dan berdepan tekanan emosi yang sukar ditangani,” katanya.
Bagi menangani jurang ini, IDEAL memperkenalkan pendekatan ‘Kesinambungan Penjagaan Merentasi Komuniti’ — sebuah model yang menghubungkan rawatan hospital, klinik komuniti dan sokongan kesihatan mental dalam satu ekosistem bersepadu.

Dari kiri; Haikal Azim (IDEAL) dan Dr. Nor Hamidah (NH Edu-Health).
Melalui kerjasama strategik bersama Remedine Clinic TTDI dan NH Edu-Health Management Sdn. Bhd, pendekatan ini memastikan pesakit terus dipantau selepas keluar hospital, menerima intervensi awal jika perlu, serta mendapat sokongan psikologi sepanjang proses pemulihan.
Dalam masa yang sama, IDEAL turut mengalu-alukan kolaborasi bersama pihak hospital-hospital bagi menjamin kesinambungan rehabilitasi dan rawatan klinikal, fizikal dan mental bagi pesakit-pesakit selepas discaj.
Apa yang membezakan model ini adalah penekanannya terhadap penjagaan menyeluruh, bukan sekadar merawat penyakit, tetapi memastikan pesakit benar-benar pulih dan mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Dalam masa sama, aspek kesihatan mental yang sering terpinggir juga diberi perhatian setara dengan rawatan fizikal, sejajar dengan keperluan pesakit yang semakin kompleks,” tegasnya.
Tambah Faizi, pendekatan ini juga dilihat selari dengan keperluan semasa negara, khususnya apabila Malaysia berdepan peningkatan penyakit kronik serta populasi yang semakin menua.
Bagi IDEAL, usaha ini bukan sekadar satu kolaborasi, tetapi langkah awal ke arah membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih tersusun, berhubung dan berpusatkan pesakit — dan dipercayai antara yang pertama seumpamanya di Malaysia yang digerakkan oleh sebuah pusat rehabilitasi di peringkat komuniti.
Inisiatif ini dimeterai secara rasmi sempena IDEAL-Fitri Open House 2026, sebagai simbol komitmen untuk memastikan tiada pesakit yang tercicir dalam perjalanan mereka menuju pemulihan sebenar. – HIBGLAM
