‘Memang istimewa, saya pun jarang kongsi mana-mana lelaki’

PENYANYI Adira Suhaimi lebih selesa untuk tidak terlalu berkongsi mengenai hubungan cintanya dengan seorang jejaka misteri kepada umum.

Bagaimanapun menurut Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 35, dia kini sedang berkawan rapat dengan lelaki tersebut.

“Boleh dikatakan istimewa, sebab saya pun jarang kongsi mana-mana lelaki. Jadi saya minta doakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), di sini, semalam.

Tambah pelantun lagu Ku Ada Kamu itu, dia kini memilih untuk berkongsi perkara yang perlu sahaja di media sosial dan enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai hubungan tersebut.

“Setakat ini apa yang boleh saya kongsikan adalah apa yang saya kongsi di media sosial sahaja. Itu saja.

“Saya kekal dengan cara itu dan mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua. Insya-Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu, naib juara Akademi Fantasia 8 (AF8) itu memberitahu anak-anaknya juga sudah menerima kehadiran jejaka misteri berkenaan dengan baik.

“Alhamdulillah setakat ini anak-anak saya sangat selesa. Saya tak boleh kongsi lebih banyak kerana perlu menghormati keluarga,” jelasnya.

Adira turut menafikan dakwaan kononnya dia sengaja mencipta gimik bergambar bersama lelaki misteri demi meraih perhatian sempena penyertaannya dalam TTMM2 bersama anak perempuannya, Anggerik.

“Saya tak buat gimik. Apa yang saya kongsi di media sosial adalah perkara yang saya suka, tiada paksaan.

“Maknanya apa yang ada di media sosial saya itu adalah apa yang saya suka dan bahagia,” jelasnya.

Terdahulu, perkongsian Adira dalam Instagram yang memaparkan dia bersama jejaka misteri yang memiliki rambut panjang paras bahu mengundang pelbagai teka-teki dan spekulasi ramai.

Ramai netizen tumpang bahagia dan mendoakan agar dia dipertemukan jodoh dengan jejaka tersebut yang disifatkan mereka sebagai jodoh lebaran buatnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok