Tanpa sedar, perjalanan ini satukan dua hati – Syed Saddiq

TIADA lagi teka-teki, hubungan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya menemui titik bahagia apabila mengesahkan bakal bertunang dengan pelakon, Bella Astillah.

Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abd. Rahman, 33, berkongsi berita gembira tersebut menerusi media sosial dengan kapsyen penuh makna, sekali gus menamatkan spekulasi berpanjangan.

“Saya melamar, dia menerima. Ini bukan penamat, tetapi permulaan kisah kami.

“Dan hari ini berlangsung majlis pertunangan kami. Mohon doa semua,” katanya.

Lebih menyentuh hati, Saddiq turut mengimbau perjalanan hubungan mereka bermula daripada kerjasama biasa sehingga mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat.

“Bermula dengan kerjasama biasa, akhirnya berjaya mengumpul lebih RM6 juta untuk rakyat. Tanpa sedar, perjalanan itu turut menyatukan dua hati. Allah sebaik-baik perancang.

“Lamaran dilakukan di atas Gunung Kinabalu ketika hujan lebat,” ujarnya.

Berita tersebut pantas mengundang reaksi luar biasa dalam kalangan netizen apabila rata-rata meluahkan rasa teruja selain mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan.

“Memang nampak serasi, makbul doa peminat mahu lihat mereka berjodohan.

“Dari kerja kebajikan sampai ke pelamin, memang kisah luar biasa dan kami menjadi saksi bagaimana cinta itu mula berputik.

“Hari ini hari BASS, kami snagat gembira meksipun harga minyak melonjak,” tulis netizen.

Sebelum ini, pasangan tersebut sering mencuri perhatian apabila muncul bersama dalam beberapa kempen jenama pakaian tempatan selain kolaborasi muzik video Tapi Bukan Denganmu, sekali gus mencetuskan fenomena digelar ‘BASS’ dalam kalangan peminat.

Fenomena gabungan dua dunia iaitu seni dan politik bukan sahaja tular di Malaysia, malah menarik minat peminat hiburan dari Korea Selatan.

Lebih manis, kelibat Bella turut dilihat setia menemani Saddiq dalam beberapa prosiding mahkamah berkaitan pertuduhan pecah amanah sebelum ini, sekali gus menguatkan lagi spekulasi hubungan mereka yang akhirnya terjawab hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok