Tracie, Jazmy harap lebih banyak tawaran menyanyi

DRAMA rantaian yang pernah mencetuskan fenomena, Hilang Dalam Rindu lakonan Tracie Sinidol dan Jazmy Juma kembali untuk musim kedua.

Hilang Dalam Rindu 2 diterbitkan sebanyak lima episod, khas untuk tayangan sempena Syawal yang ditayangkan di TV3 bermula Syawal pertama.

Menariknya, untuk musim kedua ini, Tracie dan Jazmy diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema drama tersebut.

Lagu yang bertajuk Ku Tetap Ada itu dicipta oleh komposer dan penulis lirik dari Indonesia iaitu Wirawati Diana Putri dan Revo Marty.

Bagi Tracie, dia teruja diberi peluang untuk menyanyikan lagu tema Hilang Dalam Rindu 2 kerana menjadi penyanyi adalah salah satu cita-citanya.

TRACIE teruja dapat merakamkan lagu tema drama lakonan sendiri berjudul Ku Tetap Ada.

Sebenarnya saya memang sangat suka menyanyi. Salah satu cita-cita saya adalah menjadi penyanyi. Tetapi belum diberi peluang ke arah itu.

“Jadi bila berpeluang berduet bersama Jazmy untuk lagu Ku Tetap Ada, saya rasa tanggungjawab ini sangat berat. Tetap saya cuba lakukan sehabis baik,” katanya.

Sebagai pelakon yang pernah merakamkan single tiga tahun lepas, Jazmy pula tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu tema drama terbabit.

Katanya, dia seronok dapat menyanyikan sendiri lagu tema drama terbitan Suhan Movies itu kerana berasa lebih dekat dengan jalan cerita.

“Saya pernah merakamkan single berjudul Gelora ciptaan Azlan Abu Hassan tiga tahun lalu.

Jadi bila berpeluang masuk studio untuk merakam lagu tema drama lakonan saya sendiri, pastinya saya rasa seronok.

“Tambahan pula saya dapat bekerjasama dengan komposer dari Indonesia. Ketika rakamkan lagu ini, mereka datang ke Kuala Lumpur,” jelasnya.

TIDAK asing dalam dunia muzik, Jazmy berharap kerjaya nyanyiannya kembali rancak.

Ditanya sama ada wujud kegusaran nyanyian mereka dikecam netizen, kata Tracie dan Jazmy, mereka sudah bersedia untuk menghadapi segala kritikan.

Kalau ada yang kecam atau tegur nyanyian kami, saya akan ambil komen itu sebagai pengajaran. Kalau ada yang boleh diperbaiki, kita lakukan di masa akan datang.

“Perlu diingatkan kami berdua ialah pelakon bukannya penyanyi profesional. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari,” jelas Tracie.

Kenyataan tersebut turut disokong oleh Jazmy kerana baginya tidak semestinya komen dan teguran netizen lebih ke arah negatif.

Kita tak dapat nak tutup mulut orang daripada berkata-kata. Tetapi untuk lagu Ku Ada Kamu ini, vokal kami mendapat tunjuk ajar oleh komposer lagu itu sendiri sebelum proses rakaman. Tetapi sebelum ini pun memang saya ada ke kelas vokal,” kongsinya.

Tracie dan Jazmy juga tidak menolak seandainya rezeki mereka dalam bidang nyanyian berlanjutan selepas ini.

Kalau diberi peluang untuk merakamkan lagu lagi sudah tentu kami mahu.

“Saya sangat seronok setiap momen ketika merakamkan lagu Ku Tetap Ada,” kata Tracie.

Jazmy pula berharap dapat bekerjasama dengan komposer dari Malaysia pula untuk merakamkan lagu duet bersama Tracie.
Ku Tetap Ada juga hadir dengan video muzik yang diarahkan oleh Shiha Zikir dan kini sudah boleh ditonton dalam saluran YouTube. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok