DUNIA lakonan tidak hanya menuntut bakat, malah disiplin tinggi menjadi nadi kelangsungan seseorang anak seni. Setiap detik di set penggambaran membawa nilai masa amat berharga.
Ketika industri diserikan dengan kehadiran ramai bintang baharu, isu disiplin kembali mencuri perhatian.
Sebelum ini kecoh apabila seorang pelakon senior meluahkan rasa kecewa dengan segelintir pelakon baharu yang didakwa tiba lewat ke set penggambaran sehingga kru produksi terpaksa menunggu lama.
Mengulas perkara tersebut, pelakon Aeril Zafrel menegaskan setiap individu perlu menjaga disiplin termasuk menghormati masa serta komitmen seluruh pasukan produksi.
“Perkara ini sebenarnya susah nak komen, kadang-kadang kita sendiri pun pernah datang lewat. Namun apa sahaja berlaku, hormatilah masa orang lain. Itu sahaja yang boleh saya nasihat.
“Lewat 15 minit mungkin masih boleh diterima, tetapi pelakon sekarang tidak seperti dahulu. Ada antara mereka suka ikut kepala sendiri,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu lagi, sikap segelintir penggiat seni hari ini kadangkala sukar difahami selain mengakui industri sudah banyak berubah.
Memilih pendekatan lebih tenang dan enggan terlalu mengulas panjang isu itu, Aeril bagaimanapun mengakui perkara sedemikian berlaku dalam industri hiburan.
“Ada kala saya sendiri tertanya-tanya. Mengapa isu ini masih berlarutan sehingga kecoh dalam media sosial.
“Jadi saya rasa mungkin mereka (pendatang baharu) ada pemikiran ‘kalau mahu ambil saya berlakon, ambillah. Kalau tak ambil pun tidak mengapa’.
“Saya rasa pokok pangkalnya kena tengok niat seseorang itu masuk industri. Saya hanya mampu nasihat kalau betul mahu jadi pelakon kena profesional, selebihnya tepuk dada tanya selera” ujarnya.
Erma Fatima
Dalam perkembangan karier lakonan, suami kepada Wawa Zainal itu mengakui menunggu peluang bekerjasama dengan pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima seperti pernah dijanjikan sebelum ini.
“Sebenarnya sebelum ini memang ada tawaran berlakon dengan Kak Erma.
“Cuma biasalah, kadang-kadang jadual berubah dan penggambaran terpaksa ditangguhkan. Jadi buat masa ini saya masih menunggu,” jelasnya.
Tambahnya, janji kerjasama tersebut sudah dibuat sejak tahun lalu dan kemungkinan penggambaran hanya bermula selepas Aidilfitri.
Menariknya, bintang filem Abnormal: Buas itu sengaja tidak menerima tawaran lain demi menghormati janji tersebut.
Baginya, berpegang dengan janji menjadi prinsip hidupnya dalam industri.
“Sejak tahun lalu lagi kami sudah berjanji untuk bekerjasama. Kak Erma ada beritahu penggambaran mungkin bermula selepas Aidilfitri.
“Saya sebenarnya tidak mengambil mana-mana tawaran penggambaran lain kerana mahu menunaikan janji dengan kak Erma terlebih dahulu.
“Perkara itu sudah lama dipersetujui, jadi saya pegang janji tersebut,” katanya.
