SETIA dengan rutin menziarahi pusara anaknya, tarikh 23 Mac 2026 agak berbeza buat pelakon, Amyza Aznan kerana semalam genap sebulan pemergian Allahyarham Andre Mikhail.
Tidak berhenti berdoa, ibu kepada dua cahaya mata itu terus memohon kepada Allah agar permata hatinya ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.
“23/02/2026 – 23/03/2026, genap sebulan duhai anak solehku. Andre Mikhail Khairil Izhar. Al-Fatihah.
“Allahumma firlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu (Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia, berilah keselamatan kepadanya, dan ampunilah dosanya),” katanya dalam hantaran di Threads.
Menerusi perkongsian videopo itu, Amyza dilihat membersihkan kubur arwah selain menambahkan tanah serta batu ‘rumah baru’ puteranya.
Tergambar kasih sayang tanpa penghujung seorang ibu yang kehilangan anak ditambah buat pertama kali meraikan Syawal tanpa permata hati.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen berkongsi kesayuan dan menitipkan doa kepada arwah
malah ada dalam kalangan pengikutnya yang menceritakan pengalaman hilang orang tersayang.
“Cantik kakak hias rumah baru anak soleh kakak. Saya pun baru kehilangan ibu tersayang. Faham sangat sakit kehilangan orang yang kita sayang. Rindu tiada penghujung,” tulis netizen.
Allahyarham Andre Mikhail, 20, menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 23 Februari 2026.
Amyza dan keluarga turut diuji sekali lagi apabila anak keduanya, Andrian Adam, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang sejak Februari lalu.
Difahamkan, Andrian kini sedang mendapatkan rawatan alternatif bagi mengubati penyakit berkenaan. –HIBGLAM
