Harris Alif nafi curang dalam permainan video online

 

PELAKON Harris Alif menafikan dakwaan dia berlaku curang terhadap isterinya, Intan Ladyana susulan tular rakaman memaparkan perbualan romantis dengan seorang wanita dalam sebuah permainan video online baru-baru ini.

Harris, 27, berkata, dialog tersebut hanya untuk karakternya dalam permainan video semata-mata dan tidak berlaku sebarang hubungan istimewa dengan wanita yang turut bermain bersamanya.

“Untuk jelaskan itu adalah karakter ‘roleplay’ bernama Tommy Hilfger dalam konten sahaja, bukan diri sebenar saya.

“Dalam dunia ‘roleplay’ atau RP, memang ada jalan cerita dan dialog tertentu yang mengikut watak.

“Di luar konten, saya tetap seorang suami, ayah dan tahu batas serta tanggungjawab saya terhadap keluarga,” katanya dalam InstaStory.

Ujarnya, dia masih sedar tentang batas dirinya sebagai seorang suami dan bapa selain meminga maaf sekiranya konten serta karakternya dalam permainan video tersebut mengundang rasa kurang senang orang ramai.

“Tentang isu ‘microcheating’ itu, kalau betul niat nak curang, saya tidak akan buat secara terbuka dalam siaran langsung (permainan video) untuk semua orang tengok.

“Saya lebih tahu jaga diri dan keluarga saya.

“Kalau ada yang terasa atau kurang selesa dengan konten tersebut, saya minta maaf. Itu bukan niat saya. Terima kasih yang masih faham dan sokong,” katanya lagi.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan perbualan romantis Harris dengan seorang wanita ketika bermain permainan online yang disiarkan secara langsung dalam media sosial.

Perkara tersebut mencetuskan pelbagai respons yang rata-ratanya melahirkan rasa kurang senang dan berang dengan tindakan Harris kerana dikatakan terlalu mesra dengan wanita dalam permainan video tersebut.

Antara dialog yang membuatkan nama Harris menjadi bualan da membuatkab ramai pihak marah adalah panggilan sayang dan ucapan ‘i love you’ terhadap wanita berkenaan.

Sekadar info, Harris dan Intan, 43, mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2021. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Evie Khadeeja, 3, dan Umar, 10. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok