‘Rumah dipecah masuk, duit raya, barang kemas hilang’

DUIT raya dan barang kemas dilarikan perompak, pelakon Erysha Emyra mendedahkan kediamannya dipecah masuk sewaktu dia keluar berbuka puasa, semalam.

Erisya atau nama lengkapnya, Nur Erysha Emyra Zakaria, 26, berkata, adik-adiknya yang berada di rumah menangis ketika memaklumkan insiden menakutkan itu.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana keluar berbuka puasa, namun adik-adik telefon dalam keadaan menangis ketakutan.

Beberapa barangan hilang termasuk wang tunai dan barang kemas. Memandangkan kami bakal pulang ke kampung, sudah tentu ada wang tunai untuk persiapan hari raya, tetapi semuanya hilang,” katanya ketika ditemu bual penyampai radio Era.

Menurut anak kepada dramatis senior Noniswara itu, penjenayah turut bertindak agresif apabila mengopak laci yang berkunci menggunakan senjata tajam.

Kata Erisya, duit raya disimpan di tempat selamat tetapi perompak dapat menyelongkar serta melarikan wang tunai itu.

Begitupun, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu sudah membuat laporan polis bagi memastikan pelaku dapat di berkas.

Kes masih dalam siasatan. Sudah tentu kami sedih, namun bersyukur semua selamat. Kejadian ini menjadi peringatan agar lebih berwaspada pada masa hadapan,” ujarnya.

Menurut Erisya lagi, insiden itu menjadi pengajaran terbesar buat dirinya agar tidak mengambil mudah soal keselamatan di rumah.

Selama bertahun-tahun tinggal di situ, tidak pernah berlaku perkara seperti ini. Kami akui ada sedikit kecuaian apabila tidak mengunci pintu di bahagian atas.

“Ini menjadi pengajaran agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan rumah,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok