‘RM300 juta program rebat penggambaran lima tahun mendatang’

MALAYSIA terus mengorak langkah agresif dalam memperkukuh industri kreatif apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi program rebat penggambaran untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pengumuman tersebut dibuat dalam sesi Malaysia on Screen sempena acara FILMART di Hong Kong, sekali gus memperlihatkan kesungguhan negara untuk muncul sebagai destinasi utama produksi antarabangsa di rantau Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, insentif Filem di Malaysia (FIMI) terus menjadi pemangkin utama dengan menawarkan rebat tunai sebanyak 30 peratus kepada produksi tempatan dan luar negara.

“Program ini bukan sahaja menarik pelaburan asing, malah mengukuhkan ekosistem industri kreatif tempatan secara menyeluruh.

“Sejak diperkenalkan 13 tahun lalu, sebanyak RM580 juta telah diagihkan kepada 243 projek.

“Dalam tempoh sama, hampir RM2.8 bilion pelaburan berjaya dibawa masuk serta membuka kira-kira 30,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia turut mencatatkan impak ekonomi besar dengan kesan gandaan mencecah RM7 bilion merangkumi sektor pelancongan, hospitaliti serta perkhidmatan berkaitan.

“Rebat ini unik kerana merangkumi pelbagai format termasuk filem cereka, dokumentari, drama televisyen, penstriman, kesan visual dan pascaproduksi.

“Malah, semua itu turut melibatkan bakat utama seperti pelakon serta tenaga produksi bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Tambah Azmir, kejayaan program tersebut terbukti apabila banyak produksi antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran termasuk Crazy Rich Asians, The Mandalorian, 6 Underground dan Blackhat.

“Malah, produksi terbaharu seperti adaptasi Lord of the Flies oleh BBC turut menjalani penggambaran di Langkawi selama beberapa bulan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, industri filem tempatan mencatat sejarah apabila kutipan pecah panggung mencecah RM244 juta pada 2025, meningkat mendadak berbanding RM108 juta pada 2023.

“Ini membuktikan potensi besar industri tempatan serta penerimaan penonton terhadap karya tempatan semakin kukuh.

“Kita mahu terus memperkasa industri agar mampu bersaing di peringkat serantau dan global,” kongsinya.

Selain itu, sesi tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian pengedaran antarabangsa bagi filem aksi Konspirasi terbitan Elepfilm Entertainment bersama syarikat Hong Kong, Reliance Media Entertainment.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha penting dalam meluaskan capaian filem Malaysia ke pasaran antarabangsa.

FINAS turut menekankan fokus masa hadapan merangkumi pengukuhan kutipan box office tempatan, menjadikan Malaysia hab produksi realiti Asia Tenggara serta memperluas dominasi dalam sektor animasi.

“Malaysia memiliki gabungan unik dari segi insentif kompetitif, bakat mahir serta lokasi penggambaran pelbagai.

“Kami yakin negara ini mampu menjadi destinasi pilihan utama produksi global dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” tuturnya.

Tidak ketinggalan, sesi panel Malaysia–Hong Kong turut menghimpunkan pemain industri termasuk Skop Productions dan One Cool Film Production bagi membincangkan potensi kerjasama filem aksi rentas negara.

Program Malaysia on Screen dilihat menjadi pemangkin penting dalam memperluas jaringan global selain meningkatkan minat antarabangsa terhadap karya Asia Tenggara.

Dengan sokongan berterusan FINAS melalui insentif, pemudah cara serta promosi agresif, Malaysia kini semakin hampir untuk mengukir nama sebagai hab produksi filem dan audiovisual unggul di peringkat dunia. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok