Inisiatif fintech 2030 Malaysia di pentas Global Money20/20

MALAYSIA terus komited memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi kewangan (fintech) serantau menerusi pelancaran inisiatif ‘Malaysia Fintech 2030’ yang bertujuan memantapkan ekosistem bakat tempatan di persada antarabangsa.

Langkah strategik tersebut melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara firma penasihat pendidikan eksekutif, Manaf Gardner Associates (MGA) dan Persatuan Fintech Malaysia (FAOM) pada acara Money20/20 Asia, di sini baru-baru ini.

Kerjasama itu menyaksikan MGA dilantik sebagai rakan pendidikan eksekutif FAOM, yang akan memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pembangunan keupayaan dan kepakaran tenaga kerja dalam landskap fintech yang berkembang pesat.

Pengerusi MGA, Datuk Dr. Nora Manaf berkata, walaupun Malaysia mempunyai elemen yang mencukupi untuk menerajui sektor berkenaan, pertumbuhan mampan amat bergantung kepada pembinaan keupayaan yang tepat seiring dengan inovasi.

Rakan strategik ini bertujuan membentuk ekosistem bakat yang lebih kukuh dan memastikan pemain fintech Malaysia mempunyai akses kepada pembelajaran praktikal yang bermaklumat global,” katanya.

Inisiatif Fintech 2030 ini dirangka sejajar dengan agenda pembangunan nasional termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan transformasi digital dan modal insan berkemahiran tinggi.

Dalam pada itu Presiden FAOM, Anil Singh Gill berkata, pembangunan bakat adalah teras kepada kemajuan berterusan ekosistem fintech negara.

Kolaborasi ini memperkukuh keupayaan kami untuk mengenal pasti jurang kemahiran, mewujudkan laluan pembelajaran bermakna dan menyokong ahli kami dalam mengemudi industri yang dinamik,” katanya.

Di bawah kerjasama ini, pelbagai program akan dilaksanakan merangkumi bengkel masterclass di Malaysia, program residensial antarabangsa di sekolah perniagaan terkemuka, serta laluan pembelajaran modular yang membawa kepada pensijilan universiti.

Menariknya, program-program ini boleh dituntut di bawah HRD Corp, sekali gus membolehkan syarikat korporat memanfaatkan levi latihan mereka untuk meningkatkan kemahiran pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif MGA, Profesor Dr. Colyn Gardner pula menegaskan bahawa pendidikan eksekutif perlu melangkaui teori dengan memfokuskan kepada pembelajaran diterajui pengamal industri yang relevan dengan cabaran sebenar.

Pemeteraian MoU di platform global seperti Money20/20 Asia itu dilihat sebagai simbolik kesediaan Malaysia untuk bersaing di peringkat serantau melalui bakat yang lebih kompetitif dan keupayaan yang diiktiraf dunia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok