WANG bukan segala-galanya.
Demikian hakikat yang perlu ditelan pempengaruh dan pelakon, Kim Kardashian apabila hajat menghadiahkan tas tangan mewah pertama buat anak sulungnya, North West tidak kesampaian suatu ketika dahulu.
Seorang penulis, Amy Odell dalam newsletter terbarunya, Back Row mendakwa Kim dan bekas suaminya, Kanye West pernah cuba membeli Hermes model Hermes Kelly Bag di butik jenama terkenal itu di Beverly Hills tetapi ditolak.
Difahamkan, mereka yang ketika itu masih suami isteri menginginkan beg Mini Kelly hitam untuk North sesuai dengan usianya.
Tulis Odell, sumber terdekat juga bekas pekerja butik terbabit memaklumkan kepadanya bukan semua selebriti dapat berbelanja mengikut kehendak mereka di premis berkenaan.
Begitupun, alasan penolakan tidak didedahkan tetapi sebarang keputusan membabitkan pelanggan berprofil tinggi adalah daripada pihak pengurusan pusat.
Kalau seseorang yang sangat terkenal menginginkan sesuatu, kemungkinan besar gambar mereka akan dirakamkan dan bukan sebarangan orang sesuai dengan tas itu.
“Untuk alasan tertentu mereka tidak mahu North West memiliki Mini Kelly daripada material kulit aligator,” katanya.
Tas Hermes Alligator Mini Kelly dianggarkan mencecah RM300,000 dan kini North yang sudah berusia 12 tahun memiliki beberapa beg jenama gah tersebut. – HIBGLAM
