“BAGI saya, perbuatan itu memang sesuatu yang tidak wajar disokong.”’
Demikian penegasan pelakon Sophia Albarakbah yang kecewa dengan segelintir pihak yang menonton filem terbaharunya, Amira Amir secara haram.
Menurut Sophia, 32, perbuatan tersebut bukan sahaja tidak wajar disokong, malah seolah-olah memperlekehkan titik peluh seluruh tenaga produksi yang telah bertungkus-lumus menjayakan naskhah berkenaan.
Terus-terang saya katakan, perkara seperti ini memang menyedihkan. Filem ini dihasilkan dengan usaha yang sangat besar daripada pelbagai pihak.
“Bukan hanya pelakon tetapi juga kru produksi, pengarah, penulis skrip dan semua terlibat di belakang tabir yang bertungkus-lumus untuk memastikan naskhah ini dapat dipersembahkan dengan sebaik mungkin kepada penonton.
Namun apabila ada yang memilih untuk menonton melalui aplikasi haram, seolah-olah segala usaha itu tidak dihargai. Bayangkan, harga untuk menonton sebenarnya tidak mahal, sekitar RM15 sahaja.
“Malah kalau berkongsi dengan kawan-kawan pun boleh, tetapi masih ada yang memilih cara yang salah,” katanya ketika ditemui di Program rakaman Melodi Raya di Restoran Saloma, baru-baru ini.
Pelakon Amira Amir itu turut mempersoalkan bagaimana mumgkin kualiti perfileman negara setanding dengan antarabangsa sekiranya tidak mendapat sokongan peminat dengan cara betul.
“Ramai yang selalu berkata filem Malaysia tidak cukup bagus atau tak setanding dengan karya luar negara tetapi jika karya tempatan sendiri tidak disokong dengan cara yang betul, bagaimana kita mahu memperbaiki kualiti itu?
Kita mahu menghasilkan filem yang lebih baik, dengan produksi yang lebih besar dan kualiti yang lebih tinggi. Namun semua itu memerlukan sokongan penonton.
“Jika orang ramai menonton secara cetak rompak, industri akan terus berdepan kesukaran untuk berkembang,” ujarnya.
Tambahnya lagi, golongan pelakon sendiri tidak mendapat keistimewaan atau akses percuma untuk menonton lakonan mereka di platform penstriman.
“Perkara yang mungkin ramai tidak tahu ialah pelakon sendiri pun perlu membayar untuk menonton karya kami.
Saya dan adik-beradik saya juga membayar untuk menonton filem yang kami sendiri lakonkan. Kami tidak mendapat kata laluan percuma atau akses khas.
“Malah kebanyakan pelakon dan kru juga melakukan perkara yang sama sebagai tanda sokongan terhadap hasil kerja yang dihasilkan bersama. Jadi kami berharap penonton di luar sana juga dapat melakukan perkara yang sama dengan menyokong melalui saluran yang betul,” jelasnya.
Sebelum ini, pengarah filem berkenaan, Reen Emran ada menegur segelintir warganet yang berkongsi informasi mengenai platform atau aplikasi tertentu di Internet atas tujuan menonton filem Amira Amir secara haram.
Selain Sophia dan Zahiril, filem Amira Amir turut dibintangi Fezrul Khan, Zarynn Min dan Kartina Aziz ini bakal menemui penonton bermula semalam di Astro First dan Sooka. – HIBGLAM
