ISU tidak menepati masa di set penggambaran, pelakon Datuk Rosyam Nor menyifatkan perkara tersebut sebagai rencah kehidupan dalam bidang seni.
Begitupun, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 59, berkata, sikap tersebut tidak seharusnya menjadi amalan yang berlarutan.
Kadang-kadang kita tak tahu apa masalah dengan pelakon itu, terima sahajalah. Zaman saya dulu pun ada pelakon-pelakon senior datang lambat.
“Ini rencah kehidupan dalam bidang lakonan tapi bagi saya kalau mereka dah komited dengan kerja, sesekali ada sebab-sebab muhasabah, tiada masalah. Kalau berkali-kali itu kurang ajar,” katanya ditemui pada tayangan perdana drama vertikal, My Ramadan Love Story yang ditayangkan menerusi platform penstriman, P-Circle di Courtyard by Marriot, Kuala Lumpur South, kelmarin.
Sepanjang hampir empat dekad bergelar anak seni, Rosyam mengakui sangat mementingkan ketepatan masa kerana menganggap karier lakonan punca rezeki yang perlu dijaga dengan penuh amanah.
“Saya mana pernah datang lambat, rezeki Allah bagi kita kena jaga.
Kalau kita lambat sebab jalan jem atau ada masalah beritahu produksi.
“Tapi jangan sampai lima jam lambat, itu bukan lambat itu kurang ajar,” ujarnya.
Dalam masa sama, Rosyam mengingatkan tentang disiplin yang perlu dijaga sekiranya mahu bertahan dalam industri.
“Setakat ini tiada (pelakon baru datang lambat), yang datang lambat pelakon lama.
Reaksi saya nak buat apa? Saya pelakon bukan orang produksi, tapi bagi mereka yang datang lambat mungkin hari ini dia rasa diperlukan.
“Tapi satu hari nanti, mungkin dia tak diperlukan ketika itu dia baru nak betulkan disiplin dah terlambat,” jelasnya.
Malah, Rosyam menjelaskan kriteria pemilihan pelakon oleh rumah produksi bukan bersandarkan bakat semata-mata, sebaliknya lebih mengutamakan aspek disiplin.
Banyak berlaku depan mata saya, kadang-kadang bukan nak ambil pelakon sebab lakonan tapi disiplin. Kalau dia ala-ala sederhana tapi disiplin bagus, tak rosakkan atau jejaskan produksi, itu menjadi pilihan.
“Saya lihat ramai yang berdisiplin tinggi terus berkarya dan bekerja sampai ke hari ini.
“Apabila diberi peluang oleh rumah produksi., kenalah jaga disiplin. Ini kriteria penting bagi seorang pelakon,” tuturnya.
Sebelum ini, pelakon Azhan Rani meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pelakon khususnya bakat baharu yang hadir lewat ke lokasi penggambaran.
Dia menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati masa orang lain lebih-lebih lagi apabila individu itu seolah-olah tiada rasa bersalah dengan perbuatannya. – HIBGLAM
