PELAKON Azar Azmi meminta orang ramai memberinya ruang ketika hadir memberi sokongan kepada suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd Sapi yang berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban, hari ini.
Azar atau nama penuhnya, Siti Azar Ameerah Azmi, 35, berkata, dia akan berkongsi sebarang maklumat kepada orang ramai kelak.
“Saya minta maaf ya, kalau boleh beri ruang dekat saya.
“Insya-Allah ada apa-apa nanti saya beritahu,” katanya ringkas.
Dia dilihat hadir ke mahkamah dengan berbusana serba hitam dan kaca mata hitam.
Hari ini, Mohd. Apri, 41, berdepan dua pertuduhan atas pertuduhan menipu dua mangsa atas urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan tanah kurniaan melibatkan kerugian keseluruhan RM293,931 pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Apri mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Sebelum ini, nama Azar hangat menjadi bualan apabila dikatakan mempunyai kaitan dengan laporan pasangan suami isteri yang ditahan pada 5 Mac lalu bagi membantu siasatan kes penipuan melibatkan urusan penjualan tanah kurnia.
Pasangan tersebut juga sekali lagi ditahan polis pada 9 Mac lalu bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu. – HIBGLAM
