PELAKON dan pelawak Sathiya kini menerima rawatan di Hospital Ampang sejak tengah malam tadi susulan keadaan kesihatan yang semakin merosot.
Menurut anak perempuannya, Amani, 37, kesihatan bapanya itu semakin lemah juga disebabkan selepas terjatuh di rumah pada Jumaat lalu.
“Ayah terjatuh di rumah pada Jumaat lepas ketika cuba bangun sendiri dan kami bawa ke klinik.
“Tapi dia semakin lemah sebelum mengadu pening dan muntah-muntah serta tak mahu makan atau minum.
“Kaki kanannya pula semakin bengkak dan disebabkan itu, kami bawa dia ke hospital,” katanya kepada HibGlam.
Tambahnya, doktor memaklumkan kaki kanan Sathiya, 62, juga tidak berada dalam keadaan baik yang mungkin akan perlu menjalani pembedahan.
Doktor juga memberitahu kaki kiri bapanya yang sebelum ini pernah dipotong pada paras betis akibat komplikasi kencing manis kronik mungkin akan dibedah sekali lagi sehingga paras lutut.
“Kami masih menunggu keputusan ujian darah tetapi doktor syak ada jangkitan kuman.
“Sekarang keadaan ayah pun tak begitu stabil, kita cakap satu dia cakap satu.
“Kemudian doktor juga beritahu kaki kiri ayah dalam keadaan tidak berapa baik dan kemungkinan terpaksa jalani pembedahan sekali lagi,” ujarnya.
Terdahulu pada September tahun lalu, kaki Sathiya reda apabila kaki kirinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman.
Difahamkan, selain menghidap kencing manis, bintang Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu juga pernah diserang angin ahmar tahun lalu. – HIBGLAM
