SELEPAS enam tahun bernaung di bawah payung Alternate Records & Talents, Marsha Milan mengesahkan kontraknya dengan syarikat rakaman itu sudah tamat Januari lalu.
Keputusan bergerak sendiri merupakan satu langkah berani yang dibuat Masha atau nama penuhnya, Marsha Milan Londoh untuk mencorakkan masa depan karier muziknya.
“Saya dah habis kontrak dengan Alternate Records, kami masih lagi dalam perbincangan untuk fasa ini.
“Saya pun tak berani nak cakap lebih, perbincangan dalam terma yang baik lagilah.
“Insya-Allah, saya rasa ini bukan kolaborasi terakhir bersama Alternate cuma mungkin sudah sampai masa untuk saya bergerak sendiri,” katanya kepada HibGlam.
Meskipun pengunduran ini dilakukan secara harmoni, wanita berusia 41 itu mengakui tidak dapat menyembunyikan rasa sebak setiap kali terkenangkan jasa dan memori yang terbina dengan label itu.
“Sewaktu perbincangan, saya rasa agak emosional sebab rasa macam anak yang dilepaskan keluarga masuk kolej, kena belajar berdikari.
“Momen itu agak sedih bagi saya. Tapi macam saya cakap tadi, kami masih lagi dalam perbincangan fasa pelepasan itu, insya-Allah semua dipermudahkan dan baik-baik saja.
“Sebenarnya, Alternate sangat dekat di hati saya, sudah macam keluarga. Enam tahun saya bersama mereka, sejak zaman Monkey Bone lagi.
“Banyak sumbangan yang mereka berikan kepada saya selama ini. Cuma saya rasa sudah sampai masa untuk saya lebih faham selok-belok industri. Nak bergerak sendiri,” jelasnya.
Tidak menjadikan isu kekangan bajet sebagai penghalang, Marsha optimis untuk menguruskan kerjayanya sama seperti penyanyi lain yang bergerak sendiri.
“Sebelum ini pun meski ada bantuan dan platform, saya masih lagi mencari dana lebih untuk berkarya.
“Inilah proses pembelajaran untuk saya, macam mana mahu mendapatkan satu karya yang bagus.
“Kalau orang lain boleh, saya pun boleh. Insya-Allah, kalau ada rezeki,” tuturnya.
OST Amira Amir
Berkongsi cerita di sebalik tabir rakaman lagu runut bunyi (OST) filem Amira Amir berjudul Hati Yang Tak Terbalas, Marsha mendedahkan hampir melepaskan projek itu gara-gara masalah kesihatan berpanjangan.
“Lagu ini penceritaannya lebih kurang Hening Rindu. Awalnya saya tak pasti boleh ambil projek ini atau tidak.
“Kebetulan saya kurang sihat dari Oktober hingga November tahun lalu. Hati berbelah bahagia, jadi saya minta beri lagu ini kepada orang lain.
“Tapi alhamdulillah, mungkin sudah tertulis rezeki, sihat cepat pula dan teruskan juga sebab mereka tetap nak saya nyanyikan lagu ini,” kongsinya.
Lebih menarik, pelantun lagu Cinta itu turut terlibat secara langsung dalam penghasilan lirik lagu itu bagi memastikan selari dengan emosi dan penceritaan watak dalam filem Amira Amir.
“Saya memang terlibat secara terus (hands-on) dalam projek ini, kita dapat lihat perubahan pada liriknya.
“Saya bersama Iqmas dan seluruh pasukan penulis skrip (playwright) bekerjasama untuk menukar mana-mana bahagian yang patut.
“Kami buat pelarasan semula supaya lagu ini benar-benar sesuai dengan penceritaan Amira Amir,” tutupnya. – HIBGLAM
